HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kegagalan projek pendalaman sungai punca banjir di Bintulu, kata Tiong

-

Ahli Parlimen Bintulu itu berkata beliau sudah lima tahun mencadangkan projek pendalaman dan pelebaran sungai itu tetapi tiada kemajuan.

0
Shares
Total Views: 1
tiong
Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing membantu penduduk di Bintulu yang terjejas akibat banjir yang melanda daerah itu. (Gambar Facebook)

BINTULU:
Ahli Parlimen Bintulu Tiong King Sing menyifatkan banjir buruk yang menjejaskan beberapa kawasan di sekitar Bintulu disebabkan kelemahan sistem saliran serta kegagalan melaksanakan projek pendalaman dan pelebaran Sungai Sibiew.

Tiong yang juga menteri pelancongan, seni dan budaya berkata masalah itu menghalang air lebihan susulan hujan lebat selama tiga hari dua malam daripada disalirkan dengan cekap, sekali gus menyebabkan paras sungai meningkat dengan cepat.

Beliau berkata kawasan terjejas teruk ialah sekitar Sungai Sibiew, yang disebabkan kesan daripada kelewatan melaksanakan projek mendalam dan melebarkan dasar sungai terbabit.

“Projek pendalaman dan pelebaran Sungai Sibiew kekal sebagai cadangan selama hampir lima tahun tanpa ada sebarang kemajuan. Banjir yang memusnahkan ini seharusnya menjadi amaran yang mendesak dan agensi yang berkaitan perlu memikul tanggungjawab.

“Saya menegaskan berulang kali bahawa sungai ini perlu didalamkan sekurang-kurangnya tiga hingga lima meter dan dilebarkan hingga 100m untuk menampung peningkatan hujan akibat perubahan iklim. Hanya dengan cara ini kita dapat mencegah bencana seumpama ini daripada berulang,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya dasar Sungai Kemena juga perlu didalamkan kerana enapan telah menyebabkan sungai terbabit semakin cetek sekali gus menyukarkan pergerakan bot.

Tiong berkata beliau akan sekali lagi menekankan keperluan untuk pelaksanaan projek mendalam dan melebar dua sungai terbabit dalam mesyuarat di Pejabat Residen pada 10 Feb, dan mencadangkan supaya pembinaan jambatan yang menghubungkan Taman Jason dan Taman Kemena Sutera dihentikan bagi mengelak gangguan kepada kerja-kerja pendalaman dasar sungai.

Beliau turut menggesa agar pemindahan penduduk setinggan di sepanjang kedua-dua tebing sungai dipercepat bagi memudahkan usaha pendalaman dan pelebaran sungai.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.