HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Ketepi perbezaan politik untuk berkhidmat pada rakyat, Zahid seru pemimpin

-

Timbalan perdana menteri berkata sebagai pemimpin amanah dan mandat daripada rakyat perlu dilaksanakan tanpa mengira parti politik atau agama.

0
Shares
Total Views: 1
zahid hamidi
Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi berkata pemimpin yang dipilih sebagai Ahli Parlimen atau Adun perlu menjaga kepentingan rakyat tanpa mengira parti politik, agama dan kaum. (Gambar Bernama)

BAGAN DATUK:
Pemimpin diingatkan agar mengenepikan perbezaan politik demi berkhidmat kepada rakyat, seru Timbalan Perdana Menteri Zahid Hamidi.

Zahid berkata amanah dan mandat daripada rakyat perlu dilaksanakan tanpa mengira parti politik atau agama.

“Sebagai ahli politik, kita tidak boleh mempunyai warga yang berbeza-beza. Soal menang banyak atau menang sedikit itu perkara kedua. Yang penting, apabila menang sebagai Ahli Parlimen atau Adun, kita perlu menjaga kepentingan semua.

“Rakyat, tanpa mengira parti politik, agama, kaum, ataupun perbezaan budaya dan bahasa, perlu diberikan perhatian yang sewajarnya,” katanya ketika berucap merasmikan Dewan RC di Simpang Empat, Hutan Melintang.

Dewan tersebut dibina oleh seorang ahli perniagaan kelahiran Bagan Datuk, M Nagaraja, 69, yang juga seorang peniaga cendol sejak 47 tahun lalu.

Sementara itu, Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata pemimpin perlu terus menyantuni rakyat di kawasan mereka, termasuk golongan muda, sama yang bekerja di kawasan sendiri atau berada di luar negara.

Bercerita lanjut mengenai Nagaraja, Zahid berkata beliau mengenali Nagaraja sejak berusia 22 tahun.

Selain menyumbang kepada pembinaan dewan, Nagaraja turut menerima gelaran ‘Raja Cendol’ daripada Zahid pada majlis Hari Raya 2007, yang kekal hingga kini sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangannya.

Selepas majlis itu, Zahid turut berkesempatan mengunjungi keluarga angkatnya pada majlis sambutan Tahun Baharu Cina yang diadakan di Dewan Dato Hj Abdullah Ahmad, di sini yang juga merupakan rutinnya setiap tahun.

Beliau disambut oleh ahli keluarga angkatnya, Beh Song Wan, 62, atau lebih dikenali sebagai Bujang, bersama isterinya, Tian Mee Ping, 56, serta dua anak mereka.

Zahid turut berkesempatan menggaul “yee sang” yang telah diubah suai dengan menggunakan bahan-bahan membuat pecal, makanan tradisi Jawa, seperti kangkung rebus, suhun, tauhu, timun serta sengkuang yang dimakan bersama kuah kacang.

Beliau juga berkesempatan beramah mesra dengan penduduk setempat yang hadir memeriahkan majlis tersebut.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.