HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Sabah banjir: Penyelamat waspada ancaman buaya ketika usaha menyelamat

-

Buaya antara cabaran besar buat anggota penyelamat di Lahad Datu.

0
Shares
Total Views: 1
buaya
Ketua BBP Lahad Datu, Sumsoa Rashid, kata penyelamat nampak kelibat buaya ketika operasi menyelamat. (Gambar Bernama)

LAHAD DATU:
Ancaman buaya menjadi antara cabaran besar buat anggota bomba dan penyelamat lain di daerah ini dalam membantu mangsa banjir di kawasan terjejas.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lahad Datu, Sumsoa Rashid, berkata pihaknya mengambil langkah berwaspada dengan bantuan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah.

Beliau berkata walaupun pasukan penyelamat menemukan kelibat buaya, ia tidak mematahkan semangat anggota untuk membantu dan memindahkan mangsa ke tempat lebih selamat.

“Kami sentiasa memantau pergerakan buaya di kawasan operasi. Keselamatan anggota penyelamat dan mangsa adalah keutamaan kami. Kerjasama dengan JHL Sabah dan APM amat penting kerana mereka mempunyai kepakaran dalam mengendalikan hidupan liar.

“Ada juga rasa takut, tetapi kami terus lakukan kerana mahu mangsa banjir semua selamat,” katanya.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah memaklumkan sebanyak 3,929 mangsa daripada 1,365 keluarga dipindahkan ke 29 pusat pemindahan sementara (PPS) pada petang tadi, dengan 316 mangsa daripada 84 keluarga dipindahkan di tiga PPS di Lahad Datu.

Sumsoa berkata operasi menyelamat diteruskan terutama kawasan terjejas teruk di Kampung Sepadulang, Segama walaupun berdepan dengan pelbagai cabaran termasuk laluan terputus dan keperluan untuk menarik bot secara manual di kawasan yang tidak ditenggelami air.

Sementara itu, jurucakap JHL Sabah mengingatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada sepanjang musim hujan dan banjir besar, terutamanya terhadap kemungkinan kehadiran haiwan reptilia berkenaan.

“Keadaan paras air yang semakin naik akibat hujan berterusan meningkatkan kemungkinan kehadiran buaya di kawasan berhampiran sungai dan parit, termasuk parit besar di kawasan perumahan dan longkang.

“Orang ramai dinasihatkan untuk mengelakkan diri berada di sekitar kawasan berisiko dan jangan melalui atau bermain di kawasan parit besar, tepi sungai atau bermandi-manda di kawasan rumah semasa hujan lebat atau banjir,” katanya.

Beliau berkata orang ramai boleh terus menghubungi talian JHL Sabah di 089-561527, atau talian terus pasukan JHL Sabah di Lahad Datu di 089-551121 bagi sebarang kecemasan mengenai buaya atau hidupan liar lain.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.