HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

6 dipercayai terlibat sindiket pengeluaran wang hasil haram ditahan

-

Sebanyak 122 akaun daripada pelbagai bank dibekukan dan polis sedang kenal pasti pemilik setiap akaun.

5
Shares
Total Views: 329
Free Malaysia Today
Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, umum penahanan enam individu dipercayai terlibat sindiket pengeluaran wang tunai hasil kegiatan penipuan. (Gambar Bernama)

SHAH ALAM:
Enam individu termasuk seorang wanita warga Vietnam ditahan selepas dipercayai terlibat dengan sindiket pengeluaran wang tunai hasil daripada kegiatan penipuan melalui mesin pengeluaran automatik (ATM) di sekitar Lembah Klang, pada 26 Jan.

Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan, berkata kumpulan berkenaan dipercayai mempunyai kaitan dengan sindiket penipuan lain dan mereka berperanan untuk mengeluarkan wang daripada pelbagai bank menggunakan ATM sebelum diserahkan kepada sindiket berlainan.

Beliau berkata modus operandi digunakan ialah mereka akan dipecahkan kepada beberapa kumpulan dan semua arahan untuk mengeluarkan wang akan disampaikan menerusi Telegram serta WhatsApp.

“Kumpulan ini kemudiannya akan menerima kad ATM daripada ‘runner’ sindiket (berlainan) dan mereka akan mengeluarkan wang di mesin ATM seluruh Lembah Klang, dengan sasaran harian pengeluaran sebanyak RM200,000.

“Wang tunai (yang dikeluarkan) akan diserahkan kepada ‘runner’ (ahli sindiket berlainan) untuk pelbagai tujuan termasuk bagi pembelian mata wang digital,” katanya pada sidang media di IPK Selangor.

Hussein berkata dipercayai sindiket berkenaan mengeluarkan wang yang diperoleh daripada kegiatan haram dan akaun yang digunakan milik individu lain (keldai akaun).

“Untuk itu, sebanyak 122 akaun daripada pelbagai bank telah dibekukan. Polis juga sedang mengenal pasti siapa pemilik sebenar untuk setiap akaun,” katanya.

Semua individu berkenaan direman empat hari dan kes disiasat bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Dalam kes berasingan, polis turut menahan kumpulan penyeluk saku dikenali Geng Nguyen terdiri tiga warga Vietnam dan satu warga Jordan berusia 31 hingga 62 tahun, yang mencuri telefon pintar jenis iPhone di sebuah pusat beli belah di Serdang, pada 12 tengah hari 25 Jan.

Siasatan mendapati semua warga Vietnam yang bertindak sebagai penyeluk saku itu aktif melakukan kegiatan berkenaan di sekitar Lembah Klang, selepas mula memasuki negara ini pada Disember tahun lepas.

Mereka dibantu lelaki Jordan berkenaan yang berperanan sebagai pemandu dalam melakukan jenayah dan pulang semula ke Vietnam untuk menjual iPhone yang dicuri, sebelum masuk semula ke dalam negara pada 17 Jan.

“Kumpulan itu telah mencuri 13 telefon bimbit dengan 12 daripadanya jenis iPhone dan semakan mendapati lapan kes kecurian direkodkan di Serdang, Petaling Jaya, Subang Jaya, Dang Wangi, Cheras dan Sentul, manakala bakinya masih dalam siasatan,” katanya, dan menambah kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379 Kanun Keseksaan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.