HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Buaya intai penyelamat ketika operasi banjir

-

Bila air naik buaya berkeliaran, kata anggota Angkatan Pertahanan Awam.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Kesilapan kecil mengundang bahaya, kata seorang penyelamat yang terlibat dalam operasi banjir. (Gambar Bernama)

KUCHING:
Pasukan penyelamat tidak boleh mengabaikan keselamatan diri ketika menyelamat dan memindahkan mangsa banjir di Sarawak.

Anggota Angkatan Pertahanan Awam, Hadi Ibrahim, 44, berkata melihat buaya bersantai di tebing sungai perkara biasa namun bertukar mencemaskan apabila banjir melanda.

“Kalau hari biasa, buaya hanya berjemur di tepi sungai dan malas bergerak, tapi bila banjir, air naik dan mereka bebas berkeliaran. Itu yang buatkan keadaan jadi ngeri,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) di Kampung Sejijak.

Hadi berkata dia sudah lali dengan pelbagai cabaran tetapi berdepan ancaman buaya dan binatang berbisa ketika air keruh bukan sesuatu yang boleh diambil mudah.

“Kesilapan kecil boleh mengundang bahaya. Bagi pasukan penyelamat, setiap operasi menyelamat adalah pertaruhan nyawa. Dalam keadaan air pasang yang tidak menentu, kita bukan sahaja bertarung dengan arus deras tetapi juga pemangsa alam yang mengintai dalam diam,” katanya.

Setiausaha Jawatankuasa Keselamatan dan Kemajuan Kampung (JKKK) Kampung Sejijak, Nordini Madiak, 55, tidak berkompromi soal keselamatan kerana banjir membawa bersama ancaman tersembunyi yang boleh meragut nyawa, terutama bagi kanak-kanak yang gemar bermain air.

“Biarlah dikata garang, kalau saya nampak ada budak bermain air ketika banjir, memang saya akan pukul dan suruh mereka balik rumah.

“Biar mereka yang menangis, bukan kita (ibu bapa) yang menangis bila kehilangan mereka. Bak kata pepatah ‘malang tidak berbau’, jadi kita perlu sentiasa berwaspada,” katanya.

Nordini berkata banjir di kampung itu bukan sesuatu yang asing, namun setiap tahun persediaan awal tetap menjadi keutamaan.

“Beberapa hari sebelum banjir, saya sudah mengarahkan penduduk untuk bersiap sedia dengan mengemas barang peribadi yang penting.

“Dengan adanya persediaan awal, semua perancangan berjalan lancar dan teratur. Apabila banjir melanda pada Rabu lepas, kami tidak kelam-kabut dan penduduk yang terkesan telah diarahkan berpindah segera ke PPS bagi mengelakkan sebarang risiko,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.