HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Dipercayai mengantuk ketika memandu, wanita maut rempuh trak tentera

-

Mangsa, Manisya Azlin Ishak, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Alor Gajah untuk bedah siasat manakala pemandu trak tentera menerima rawatan lanjut selepas patah tangan, kata polis. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA:
Seorang wanita maut selepas kereta dipandunya bertembung dengan trak tentera, dalam kejadian di hadapan Kem 96 Depot Pangkalan Peluru, Masjid Tanah, awal pagi tadi.

Mangsa, Manisya Azlin Ishak, 25, disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dalam kejadian kira-kira 2.24 pagi itu.

Kejadian itu turut menyebabkan pemandu trak tentera berusia 33 tahun mengalami patah tangan.

Timbalan Ketua Polis Alor Gajah, Azrul Mohamed, berkata kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang dari arah Ayer Keroh ke Masjid Tanah.

Katanya, mangsa yang juga kakitangan pusat panggilan Telekom di Ayer Keroh bagaimanapun dipercayai mengantuk lalu memasuki laluan bertentangan.

“Akibatnya, kereta dipandu mangsa bertembung dengan kenderaan berat itu dari arah hadapan yang cuba brek berdasarkan kesan tayar sepanjang 12 meter di laluannya.

“Rempuhan itu menyebabkan mangsa yang seorang diri ketika kejadian tersepit dan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya, menurut Sinar Harian.

Katanya, mayat mangsa dihantar ke Forensik Hospital Alor Gajah untuk proses bedah siasat selepas berjaya dikeluarkan dengan bantuan pasukan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Alor Gajah.

“Pemandu trak yang cedera dihantar ke hospital untuk rawatan lanjut manakala empat lagi anggota tentera lain yang berada dalam trak tersebut tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Semua kenderaan yang terlibat dalam nahas itu ditahan untuk siasatan lanjut sebelum dihantar ke Puspakom bagi pemeriksaan teknikal.

“Polis juga sedang mengesan saksi kejadian bagi membantu siasatan kes di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.