HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Kekuatan Amanah sahaja tak cukup tawan banyak kerusi di Kelantan

-

Penganalisis berkata PH perlu bekerjasama dengan BN yang tak mustahil mampu ulang gelombang 2004 menyaksikan PAS menang Kelantan dengan beza tiga kerusi.

0
Shares
Total Views: 1
Free Malaysia Today
Penganalisis berkata Amanah di Kelantan boleh bertanding atas logo BN dan PH di kawasan tertentu, jika ini dilakukan tidak mustahil parti itu boleh menambah kerusi. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA:
Cita-cita Amanah menang belasan kerusi di Kelantan mampu direalisasikan jika kerjasama utuh terjalin antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya akan datang, kata penganalisis politik.

Tawfik Yaakub dari Universiti Malaya (UM) berkata, walaupun Kelantan sinonim dengan PAS, kerjasama BN-PH tidak mustahil mampu mencipta gelombang dilakukan BN pada 2004 apabila hampir menumbangkan pentadbiran negeri diketuai Nik Aziz Nik Mat dengan menang 21 DUN.

PAS Kelantan dipimpin Nik Aziz yang juga Mursyidul Am PAS ketika itu menang 24 DUN daripada 45 DUN.

Menurut Tawfik, kerjasama itu termasuk mengelakkan pertembungan sesama sendiri, agihan kerusi yang sesuai selain kesepakatan dalam penggunaan logo akan diwakili calon gabungan.

Mohammad Tawfik Yaakub
Mohammad Tawfik Yaakub.

“Tidak boleh ada pertembungan tiga penjuru atau lebih, mesti antara calon Amanah dan parti lawan sahaja. Mesti ada kerjasama antara PH-BN menerusi agihan kerusi, lambang yang akan digunakan dan kawasan yang sesuai untuk ditandingi oleh gabungan tersebut.

“Bagi saya Amanah di Kelantan boleh bertanding atas logo BN dan PH di kawasan tertentu. Jika ini dilakukan, tidak mustahil Amanah boleh menambah bilangan kerusi di Kelantan,” katanya kepada FMT.

Beliau mengulas kenyataan Presiden Mohamad Sabu yang yakin partinya mampu menang belasan kerusi di Kelantan pada PRU15, berdasarkan sokongan rakyat dilihat semakin baik, selain perpaduan parti dalam kerajaan dan rombakan kerusi ditandingi.

DUN Kelantan kini dikuasai PAS dengan 42 kerusi, manakala BN – Umno (2) iaitu Galas dan Nenggiri, sementara Amanah (1) iaitu Kota Lama.

Tawfik juga yakin Amanah mampu menembusi pengundi Melayu dikuasai PAS dan Umno dengan mempertaruhkan prestasi cemerlang Adun tunggal mereka Hafidzah Mustakim di Kota Lama.

“Amanah tidak akan menjadi parti pilihan kedua atau ketiga selepas Umno dan PAS kerana Amanah ada akar umbi setia berbanding Bersatu yang tiada akar umbi kuat.

“Parti ini berkembang pesat jika dengan segera menambah ahli berkualiti, meningkatkan prestasi lebih baik dan menjadi parti alternatif gerakan Islam yang sederhana,” katanya.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, juga setuju Amanah mampu mencipta kejutan dalam gelanggang pilihan raya akan datang, dengan bantuan Umno dan PKR.

Azmi Hassan
Azmi Hassan.

“Kalau betul strateginya, diberi bantuan sepenuhnya kepada Amanah mungkin apa diidamkan presiden Amanah boleh menjadi kenyataan,” katanya walaupun atas kertas ‘mimpi’ Mat Sabu dilihat agak mustahil jika dicongak kekuatannya di peringkat nasional.

Namun, Azmi berkata situasi politik di Kelantan agak unik memandangkan Amanah mempunyai sejarah secara langsung dengan PAS kerana sebahagian besar ahlinya lahir dalam parti Islam itu.

“Walaupun PAS dianggap Kelantan dan Kelantan dianggap PAS, berbanding Umno, Amanah mempunyai peluang lebih cerah kerana seterunya adalah PAS.

“Mungkin kali ini Amanah mampu menguasai lebih banyak DUN jika Umno beri kelonggaran dalam pemilihan kerusi di Kelantan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.