HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

KPN fail prosiding komital terhadap Wan Azri

-

Peguam S Raam Kumar mendakwa defendan terus memfitnah anak guamnya di media sosial walaupun terdapat injunksi Mahkamah Tinggi.

0
Shares
Total Views: 1
raza Wan Azri Wan Deris papagomo
Awal bulan ini, Mahkamah Tinggi mengeluarkan injunksi interlokutori memihak Ketua Polis Negara Razarudin Husain dan memerintahkan Wan Azri Wan Deris memadam beberapa hantaran didakwa fitnah sementara menunggu keputusan kes saman.

KUALA LUMPUR:
Ketua Polis Negara Razarudin Husain, yang menyaman Wan Azri Wan Deris kerana memfitnahnya, kini telah memfailkan prosiding komital terhadap penulis blog itu.

Peguam mewakili Razarudin, S Raam Kumar mendakwa Wan Azri terus memfitnah anak guamnya di media sosial walaupun injunksi Mahkamah Tinggi dikeluarkan terhadapnya.

Awal bulan ini, Pesuruhjaya Kehakiman Gan Techiong mengeluarkan injunksi interlokutori yang memihak kepada Razarudin dan memerintahkan Wan Azri memadam beberapa catatan di media sosial didakwa berunsur fitnah sementara menunggu keputusan saman itu.

“Permohonan kebenaran ex-parte untuk merujuk Azri telah ditetapkan di hadapan Gan pada 10 Feb,” katanya kepada FMT, sambil menambah bahawa permohonan itu difailkan minggu lepas.

Razarudin memfailkan saman terhadap Wan Azri pada 26 Dis berhubung kenyataan yang dibuat dalam video yang disiarkan di YouTube dan TikTok dan dikongsi di pelbagai platform media sosial lain.

Razarudin mendakwa beliau digambarkan dalam video itu dalam istilah yang menghina dan dikaitkan secara palsu dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Beliau menuntut ganti rugi am, khas, teruk dan teladan serta injunksi untuk menghalang Wan Azri daripada membuat atau menerbitkan semula kenyataan sedemikian, sama ada sendiri atau melalui orang yang berkaitan dengannya.

Razarudin juga mahu Wan Azri memohon maaf dan menarik balik kenyataan yang didakwa berunsur fitnah daripada semua akaun media sosial serta dalam media massa dan dalam talian, di mana sahaja ia telah disiarkan.

Bekas pemimpin Pemuda Umno itu berkata beliau bergantung kepada pembelaan justifikasi dan komen yang adil untuk menangkis tuntutan saman itu.

Dalam pernyataan pembelaannya yang difailkan minggu lalu, Wan Azri berkata Razarudin, seorang pegawai awam yang diamanahkan dengan keselamatan negara dan ketenteraman awam, mesti tertakluk kepada kritikan awam.

“Reputasinya sebagai penjawat awam tidak dilindungi di bawah undang-undang fitnah sedia ada atau Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan (yang menjamin kebebasan bersuara).

Wan Azri, yang mahu saman itu ditolak dengan kos, juga menafikan bertanggungjawab menyiarkan kenyataan fitnah itu di media sosial kerana dia tidak menguruskan akaunnya dan tidak mempunyai kawalan ke atasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.