HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Mangsa banjir di Malaysia Timur terus meningkat

-

Mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 11,234 orang, manakala di Sabah kepada 5,195 orang.

4
Shares
Total Views: 221
Free Malaysia Today
Bahagian Bintulu di Sarawak melaporkan jumlah mangsa banjir tertinggi, begitu juga Kota Marudu di Sabah. (Gambar Bernama)

KUALA LUMPUR:
Situasi banjir di Sarawak dan Sabah masih membimbangkan dengan bilangan mangsa di pusat pemindahan sementara (PPS) dilaporkan terus meningkat, setakat 8 malam tadi.

Di Sarawak, keadaan banjir bertambah buruk dengan mangsa meningkat kepada 11,234 orang daripada 3,187 keluarga di enam bahagian.

Laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sarawak menyatakan Bahagian Bintulu yang melibatkan daerah Bintulu, Tatau dan Sebauh kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 5,350 orang daripada 1,429 keluarga, diikuti Bahagian Serian (daerah Serian, Siburan dan Balai Ringin) dengan 2,254 mangsa daripada 703 keluarga.

Bahagian Samarahan (daerah Samarahan, Asajaya, Sebuyau, Simunjan dan Gedong) mencatatkan 1,530 mangsa daripada 508 keluarga, serta Bahagian Sibu (daerah Selangau dan Kanowit) mencatatkan 1,017 mangsa daripada 237 keluarga.

Bahagian Miri (daerah Miri dan Subis) pula merekodkan 608 mangsa banjir daripada 157 keluarga, manakala Bahagian Kuching seramai 475 mangsa daripada 153 buah keluarga.

Di Sabah, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 5,195 orang daripada 1,797 keluarga, setakat 8 malam tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Sabah melaporkan PPS Dewan Letinggi, Kota Belud telah ditutup, menjadikan 33 PPS masih beroperasi di sembilan daerah.

Kota Marudu kekal mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 2,944 orang daripada 1,095 keluarga, diikuti Pitas dengan 792 mangsa (276 keluarga), Lahad Datu 505 mangsa (133 keluarga), Telupid 288 mangsa (75 keluarga), Paitan 240 mangsa (87 keluarga), dan Kota Belud 207 mangsa (67 keluarga).

Daerah lain yang terjejas ialah Beaufort yang merekodkan 108 mangsa (31 keluarga), Beluran 57 mangsa (20 keluarga), dan Tongod 54 mangsa (13 keluarga).

Jawatankuasa melaporkan trend pemindahan mangsa di Kota Belud dan Lahad Datu menunjukkan peningkatan manakala daerah lain tidak berubah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.