
Diberi nama moo ku teh, ia menggunakan daging lembu sebagai bahan utama sekali gus menjadikannya sajian ‘mesra Muslim’ bagi mereka yang ingin merasai kelazatan resipi tradisional Cina yang dimasak bersama 12 jenis herba selama 12 jam itu.
“‘Bak’ itu daging, kalau ‘moo bak’ daging lembu. Sebenarnya saya nak letak (nama) bak kut teh versi halal sebab saya Muslim, dan saya pakai (guna) daging (lembu) yang sudah tentu halal,” kata Alam Abdullah, 51, kepada FMT.
Hidangan asal bak kut teh adalah sup tulang rusuk babi dengan ramuan herba aromatik dan rempah ratus diiktiraf sebagai warisan negara pada Februari lalu. Ia dikatakan berasal dari masyarakat Hokkien di Pelabuhan Klang, yang diambil sebagai tonik berkhasiat dalam kalangan buruh dan kuli pada awal abad ke-19.

Alam yang mengusahakan gerai Alam’s Kitchen di Taman Sri Rampai, Setapak, memilih moo ku teh bagi menggantikan nama asal bak kut teh yang dianggap sensitif dalam kalangan masyarakat Islam sekali gus mengelak kontroversi.
Bapa empat anak berkata, keistimewaan moo ku teh adalah pada resipi menggunakan bahan halal sepenuhnya, namun cara penyediaannya tetap asli mengikut kaedah masakan Cina, dipelajarinya daripada pengusaha restoran terkenal di Ipoh kira-kira 20 tahun lalu.
Memulakan perniagaan pada September lalu, Alam berkata bukan mudah meyakinkan pelanggan Muslim yang menu dijualnya selamat dinikmati tanpa was-was.
“Ada yang persoal orang Islam boleh makan atau tidak. Saya cakap boleh datang ke rumah tengok sendiri cara penyediaan, bahan apa digunakan,” katanya.

Memeluk Islam kira-kira 18 tahun lalu, Alam menekankan kepentingan memahami selok-belok penyediaan makanan halal dan memastikan setiap aspek perniagaan mematuhi syariat.
Bagi memastikan menu itu selamat dimakan masyarakat Islam, Alam pernah mengikuti kursus halal bawah seliaan Majlis Agama Islam Selangor (Mais).
“Orang ingat halal itu (semata-mata) khinzir atau anjing. Sebenarnya halal ini (juga) kebersihan, macam mana kita menyediakan makanan daripada bahan segar. Penyediaan makanan penting…kena bersih, cara masak kena betul,” katanya.
Kesungguhan Alam menginovasi menu tersebut berjaya menarik perhatian pelanggan termasuk orang Melayu yang mahu menikmati makanan kegemaran masyarakat Cina itu.
“Di sini pelanggan majoriti Melayu. Alhamdulillah mereka boleh terima,” katanya yang memasang impian membuka restoran masakan Cina.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram