HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Melayu makin ramai, PAS sesuai terajui P Pinang, kata penganalisis

-

Oh Ei Sun berkata PN boleh melupakan undi Cina dan boleh ambil peluang pertumbuhan populasi orang Melayu.

0
Shares
Total Views: 1
penang skyline
Sehingga Ogos 2023, masyarakat Cina membentuk 44.9% penduduk Pulau Pinang, diikuti Melayu (44.7%), India (9.7%) dan masyarakat lain (0.6%).

PETALING JAYA:
PAS parti lebih cocok menerajui Perikatan Nasional (PN) Pulau Pinang pada masa depan mengambil kira pertumbuhan populasi orang Melayu, kata seorang penganalisis.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura, berkata Gerakan kelihatan pilihan bernas menerajui pimpinan negeri ketika ini memandangkan kerusi majoriti masyarakat Cina masih mendominasi.

Namun, Oh menjangkakan PAS akan mempunyai pengaruh lebih besar pada dua pusingan pilihan raya mendatang, sekali gus meletakkan parti berkenaan pada kedudukan terbaik menerajui PN negeri.

“Jika anda membiarkan PAS memimpin PN (di Pulau Pinang) masa ini, boleh lah mengucapkan selamat tinggal kepada pengundi Cina, dan saya maksudkan semua sekali.

Oh Ei Sun
Oh Ei Sun.

“Tetapi, saya dapat jangka didorong pertumbuhan penduduk Melayu (di Pulau Pinang), adalah munasabah (bagi PAS terajui PN negeri). Mereka boleh lupakan undi Cina dan masih dapat menang di negeri itu,” katanya kepada FMT.

Sehingga Ogos 2023, masyarakat Cina membentuk 44.9% penduduk Pulau Pinang, diikuti Melayu (44.7%), India (9.7%) dan masyarakat lain (0.6%).

Dalam pada itu, Ooi Kee Beng dari Penang Institute, percaya pengundi Pulau Pinang kekal fokus kepada kualiti dasar dan inklusif ditawarkan, tanpa mengambil kira perubahan demografi.

Ooi Kee Beng
Ooi Kee Beng.

Katanya, ini kerana menjadi DNA pelbagai budaya masyarakat Pulau Pinang dan kedudukannya pada peringkat antarabangsa.

Oh mengakui PAS menembus masuk secara signifikan di Pulau Pinang yang didominasi DAP sejak PRN 2023, menguasai tujuh kerusi, tertinggi pernah dicapai. Bersatu menang empat kerusi kesan daripada pengaruh PAS.

“Saya fikir pengundi PN di Pulau Pinang mengundi terutama PAS. Mereka tidak mengundi Bersatu, dan mereka pastinya tidak undi Gerakan,” katanya sambil menambah ia mengukuhkan PAS bagi menerajui PN Pulau Pinang menyandang jawatan pengerusi.

Oh berkata, tidak realistik Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) untuk berharap memimpin PN Pulau Pinang.

Sebelum ini, FMT memetik sumber sebagai berkata, PN merancang menumpukan kepada pengundi Melayu dan India bertujuan meraih majoriti tipis pada PRN akan datang, mengakui tiada upaya mendapatkan undi masyarakat Cina di Pulau Pinang.

Sehingga kini, Gerakan tidak mampu membantu PN mendapat dukungan pada pilihan raya, gagal menang sebarang kerusi baik di kawasan Parlimen atau Dewan Undangan Negeri walaupun pernah mengetuai kerajaan negeri selama 39 tahun antara 1969 hingga 2008.

Parti itu menyuarakan keyakinan mampu memberi kejayaan kepada PN pada PRN Pulau Pinang, menekankan pengalamannya pernah mentadbir dan membangunkan negeri itu pada masa lalu.

Kegemilangan Gerakan sudah berakhir

Namun begitu, Oh dan Ooi yakin kegemilangan Gerakan di Pulau Pinang adalah perkara telah berlalu dan tidak lagi mampu digapai, melainkan parti itu keluar PN.

Oh berkata, pimpinan Gerakan menikmati ledakan teknologi pada 1970-an, mewujudkan banyak peluang pekerjaan dan meningkatkan ekonomi negeri. “Rakyat terus mengundi Gerakan sehingga 2008 sehingga mereka menolak Barisan Nasional,” katanya.

Dengan bekerjasama dengan PAS, Gerakan tiada peluang memenangi undi masyarakat bukan Melayu, katanya.

Ooi berkata, satu-satunya cara bagi Gerakan untuk kembali menonjol adalah meninggalkan PN dan menjadi parti pembangkang tempatan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.