HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Prabowo yakin Malaysia siasat sebaiknya kes tembak migran Indonesia

-

Pada 24 Jan lalu, seorang daripada lima pendatang asing dari Indonesia maut selepas ditembak pegawai Maritim Malaysia di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting, Selangor.

0
Shares
Total Views: 1
Prabowo Subianto
Prabowo Subianto berkata beliau ada membincangkan perkara itu dalam pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

PETALING JAYA:
Presiden Indonesia Prabowo Subianto yakin pihak berkuasa Malaysia akan mengendalikan siasatan sebaiknya kejadian tembakan terhadap migran dari negara itu di perairan Tanjung Rhu, dekat Banting, 24 Jan lalu.

Seorang daripadanya maut manakala selebih cedera selepas didakwa ditembak pegawai Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia), mencetuskan kontroversi di republik itu sama ada tindakan berkenaan membabitkan kekerasan berlebihan.

Semalam, hampir 100 orang daripada pelbagai kelompok hak asasi manusia dan kesatuan sekerja berkumpul dan bertindak agresif melemparkan telur di hadapan Kedutaan Malaysia di Jakarta bagi membantah kes tembakan terbabit.

Antara News melaporkan Prabowo berkata beliau ada membincangkan perkara itu dalam pertemuan rasmi dengan Perdana Menteri Anwar Ibrahim di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

“Kami juga yakin bahawa pihak Malaysia akan melakukan siasatan sebaiknya,” Prabowo dipetik berkata dalam satu majlis di Jakarta, semalam.

Sementara itu, Prabowo dilaporkan Kompas turut mengingatkan masyarakat itu tidak terjebak dengan kegiatan haram seperti penyeludupan pekerja tidak sah ke beberapa negara.

“Kalau menyeludup ke negara asing, risikonya negara asing akan bertindak. Jadi, rakyat kita jangan dibohongi oleh sindiket-sindiket yang berjanji ini, berjanji itu,” tegas Prabowo.

Minggu lalu, Timbalan Menteri Perlindungan Pekerja Migran Indonesia Christina Aryani berkata negara itu menggesa Malaysia mengambil tindakan terhadap pegawai Maritim Malaysia jika terbukti mereka menggunakan kekerasan berlebihan dalam kejadian terbabit.

Aryani dipetik berkata kementeriannya juga sedang merancang untuk mengadakan pertemuan dengan kerajaan Malaysia bagi membincangkan langkah pencegahan bagi memastikan insiden sedemikian tidak berlaku lagi.

Pada 24 Jan, Ketua Polis Selangor Hussein Omar Khan memaklumkan kejadian tembakan di perairan di Kuala Langat itu menyebabkan seorang terbunuh dan empat yang lain cedera.

Dalam insiden itu, dua suspek dipercayai warga asing yang berada di atas bot, didakwa cuba menyerang pegawai Maritim Malaysia dengan parang sekitar jam 3 pagi, selepas mereka merempuh bot pegawai berkenaan sebanyak empat kali.

Pegawai Maritim Malaysia melepaskan beberapa das tembakan ke arah bot suspek sebagai tindakan mempertahankan diri. Namun, suspek melarikan diri dalam kegelapan malam.

Pada 9 pagi hari sama, Maritim Malaysia menerima maklumat daripada orang awam mengenai sebuah bot yang hanyut di sepanjang pantai Banting, Kuala Langat.

Maritim Malaysia menemui bot berkenaan dan mendapati dua lelaki di dalamnya. Seorang disahkan meninggal dunia di tempat kejadian, manakala seorang lagi cedera parah dan dikejarkan ke Hospital Tengku Ampuan Rahimah di Klang untuk rawatan.

Jenazah mangsa yang berusia 54 tahun telah dihantar ke kampungnya di Riau, Rabu lalu.

Bagaimanapun Pengarah Perlindungan Warganegara Indonesia di Kementerian Luar Negeri Indonesia Judha Nugraha dilaporkan Antara News berkata tiada tentangan daripada migran terbabit dalam kejadian itu berdasarkan keterangan mangsa cedera.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.