
Aimi Zulhazmi Rashid dari Universiti Kuala Lumpur, berkata matlamat asal tol percuma musim perayaan adalah untuk meringankan beban kewangan yang dihadapi golongan berpendapatan rendah yang pulang ke kampung.
Beliau berkata walaupun kerajaan bercadang menghentikannya bermula tahun ini, namun ia menunjukkan sikap responsifnya terhadap maklum balas orang ramai dengan memberi diskaun 50% untuk kenderaan Kelas 1.
Bagaimanapun, dengan ekonomi negara semakin pulih, Aimi berkata pendekatan yang lebih tersusun dan bersasar untuk bantuan kerajaan adalah perlu.
Beliau mencadangkan agar kerajaan menyelaraskan langkah subsidi tol dan bahan api dengan inisiatif kerajaan lain seperti Sumbangan Asas Rahmah (Sara) dan program subsidi RON95 bersasar, dijangka dilaksanakan pertengahan tahun.
“Subsidi tunai bersasar yang meliputi perbelanjaan tol dan bahan api akan lebih berkesan,” katanya kepada FMT.
“Bantuan juga boleh diberikan sama ada untuk setiap musim perayaan besar atau digabungkan dengan bantuan sedia ada.
“Bagaimanapun, ia harus berdasarkan pendapatan isi rumah bersih. Data daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri dan eKasih (pangkalan data kemiskinan tegar kerajaan) boleh digunakan (untuk menentukan siapa yang layak).”
Seorang lagi pakar ekonomi, Abu Sofian Yaacob dari Universiti Malaysia Kelantan, mencadangkan syarikat konsesi dibenarkan untuk menyerap pengecualian tol sebagai sebahagian daripada perbelanjaan operasi mereka.
Langkah itu akan mengurangkan beban cukai mereka sambil meringankan beban kewangan kerajaan, katanya.
“Ia adalah situasi menang-menang,” kata Abu Sofian.
Tambahnya, semua penjimatan daripada pengecualian tol boleh digunakan kerajaan untuk melaksanakan program bermanfaat kepada orang ramai, termasuk menyediakan bantuan kepada pekerja perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PKS) dan ekonomi gig.
Pada 23 Jan, Menteri Kerja Raya Alexander Nanta Linggi berkata kerajaan dijangka menjimatkan RM190 juta setiap tahun dengan menghentikan tol percuma pada musim perayaan, dan menggantikan dengan pendekatan lebih bersasar kepada golongan berpendapatan rendah.
Bagaimanapun, Nanta kemudiannya mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju memberi diskaun tol 50% dari kadar tol biasa sempena Tahun Baharu Cina.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram