
Dalam episod terbaharu audio siarnya, Zaid turut menolak idea jika bekas ketua Pemuda Umno itu menubuhkan parti baharu, memandangkan laluannya berliku.
“Saya fikir saya mahu panggil beliau dan tanyakan apa yang beliau ingin buat. Mungkin beliau enggan beritahu, tetapi beliau patut menyertai PAS,” katanya.
Katanya, Khairy mempunyai dua pilihan “realistik” – bentuk parti sendiri atau bertanding sebagai bebas. Namun, beliau menggesa bekas menteri kesihatan berkenaan segera mengumumkan hala tuju politiknya.
“Jika beliau tidak mahu dua pilihan berkenaan, masuk PAS sahaja. Beliau pastinya akan menang, kemudian boleh masuk Parlimen (jika dipilih wakil rakyat) dan cari jalan bina dukungan untuk menjadi perdana menteri – bukan sekarang ini, tapi lebih kurang 10 tahun lagi.
“Saya yakin PAS akan terimanya. Saya sendiri akan berkempen untuknya jika beliau masuk PAS dan bertanding,” katanya.
Zaid juga menggalakkan pemimpin Umno terpinggir mempertimbang PAS sebagai wadah, sambil menyatakan parti itu mampu menawarkan masa depan politik.
“Pemimpin Umno yang mana tiada tempat (dalam parti) patut masuk PAS. Bersatu bermula sebagai gerakan (pengganti kepada Umno), namun bukan semua berjaya. Ke mana lagi orang Melayu mahu pergi? Bagi saya, Umno tiada lagi masa depan. Semangatnya telah hilang, jiwanya sudah sesat,” katanya.
Pada Januari 2023, Majlis Tertinggi Umno memecat Khairy dan ketua Umno Selangor ketika itu, Noh Omar, selain menggantung beberapa pemimpin utama seperti bekas naib presiden, Hishammuddin Hussein, kerana melanggar disiplin parti pada PRU 2022.
Setahun kemudian, Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin menawarkan Khairy jawatan Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT), andai bekas Ahli Parlimen Rembau itu memutuskan menyertai partinya.
Muhyiddin berkata, ketika itu ada dua kekosongan MPT dan pelawaan kepada Khairy telah dibincangkan dengan pemimpin parti lain. Namun, Khairy berkata beliau memerlukan masa memberi kata putus.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram