
Naib Ketua Siti Sokhleha Nordin dan Exco Nooryana Najwa Najib berpendapat cadangan menaikkan had usia daripada 35 tahun itu harus dilihat sudut positif, bukannya menyekat bakat baharu dalam kepimpinan.

Bercakap kepada FMT, Siti Sokhleha menjelaskan langkah itu sebenarnya memberikan lebih ruang untuk orang muda berada dalam saf kepimpinan, mengambil kira trend menunjukkan hampir 69% wanita berusia 18 hingga 25 tahun berada di institusi pengajian tinggi.
Menurutnya, mereka yang berusia 25 hingga 28 tahun pula menumpukan kepada kerjaya atau rumah tangga.
“Jadi pada usia bawah 30 tahun politik mungkin bukan pilihan utama, jadi selepas itu barulah mereka berkecimpung. Tetapi dengan peraturan sekarang (dalam Puteri Umno) mereka mungkin hanya dapat berkhidmat sehingga 35 tahun.
“Menaikkan had usia keahlian Puteri dapat beri ruang untuk memimpin, membina potensi dan menjadi matang menjalankan tugas untuk parti,” katanya.
Mengepalai sayap itu dari 2009 hingga 2013, Selasa lalu, Rosnah berkata Puteri Umno memerlukan lebih ramai pemimpin muda untuk memastikannya dapat meraih segmen pengundi terbabit memandangkan had usia pemilih telah diturunkan kepada 18 tahun.
Sehubungan itu, beliau menegaskan had usia keahlian sayap terbabit perlu dikekalkan kepada 35 tahun bagi melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis.
Baru-baru ini, Naib Presiden Umno Khaled Nordin berkata parti itu akan mempertimbangkan cadangan menaikkan had usia ahli Puteri daripada 35 tahun kepada 40 tahun.
Nooryana pula menjelaskan cadangan menaikkan had usia keahlian Puteri itu telah dibincangkan di setiap peringkat termasuk diluluskan dalam persidangannya sebelum dibawa ke Perhimpunan Agung Umno tahun lalu.

Menurutnya, isu itu telah lama terbiar tanpa ada penyelesaian dan pihaknya merasakan penggal kali ini paling sesuai untuk merealisasikannya.
“Puteri Umno sentiasa peka dengan perubahan sosial dan profesional wanita muda, ruang ini (naikkan had usia) dapat memaksimumkan potensi mereka serta melahirkan pemimpin muda boleh berpolitik secara matang,” katanya.
Menyentuh usaha memperkasakan Puteri untuk menarik sokongan orang muda, sayap itu yang diketuai Nurul Amal Mohd Fauzi telah membuat kajian dengan penyelidik Kuala Lumpur International Education Consortium (KLIEC) Azlan Alias.
“Kajian membabitkan undi 18 tahun itu mendapati golongan muda hari ini perlu disantuni mengikut tahap pendidikan mereka bukan pecahan umur semata-mata.
“Ada juga kajian berkait perspektif baharu untuk menyokong usul itu yang menunjukkan Puteri dan Umno perlu kepelbagaian umur dan latar belakang pendidikan bagi mendepani cabaran politik negara kini.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram