
Parti itu akan mengambil tindakan sedemikian susulan dakwaan Menteri Besar Kedah Sanusi Nor, yang juga pemimpin PAS, pada program Himpunan Ummah Selamatkan Malaysia semalam bahawa Amanah ‘dilahirkan oleh DAP’.
Setiausaha Agung Amanah Faiz Fadzil berkata, dakwaan Sanusi itu menunjukkan betapa terdesaknya PAS untuk terus bermain dengan isu sentimen agama dan kaum.
“Amanah akan menggerakkan laporan polis dibuat di seluruh negara supaya siasatan dapat dibuat terhadap PAS yang semakin ketagih membudayakan politik fitnah dan adu domba yang kesannya sangat bahaya kepada negara,” katanya dalam kenyataan.
Faiz menegaskan bahawa Amanah bukan diwujudkan oleh DAP atau mana-mana parti lain, sebaliknya ditubuhkan atas desakan bekas ahli PAS dan rakyat sivil yang mahu melihat bahtera perjuangan Islam yang lebih progresif dan sederhana.
“Amanah bukan PAS 2.0 dan akan terus berpolitik atas nilai,” katanya.
“… Antara tugas Amanah untuk menyelamatkan umat Islam dan rakyat Malaysia daripada terus ditipu oleh permainan politik murahan PAS ini.”
Faiz menyifatkan tuduhan PAS itu sebagai sebahagian ‘serangan tersusun untuk melemahkan Amanah’, yang telah berkembang di seluruh negara dengan 180 bahagian serta membantu membentuk kerajaan persekutuan dua kali.
Awal hari ini, Timbalan Ketua Biro Mobilisasi Amanah Rafizal Ali memfailkan laporan polis terhadap Ketua Pemuda PAS Teluk Intan Nurhafizul Badrul Hisham yang didakwa mengeluarkan kenyataan berunsur fitnah.
Utusan Malaysia melaporkan Rafizal berkata, pihaknya amat terkesan dengan artikel di HarakahDaily semalam, yang mendakwa Amanah digunakan sebagai alat oleh DAP untuk mempromosikan sekularisme.
“Dakwaan itu adalah fitnah dan perbuatan jahat yang menimbulkan persepsi buruk kepada Amanah tanpa sebarang fakta dan bukti,” kata Rafizal, yang membuat laporan di IPD Shah Alam.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram