
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata unit integriti DBKL akan memanggil semua pihak berkaitan termasuk Afdlin Shauki yang juga Ahli Lembaga Penasihat DBKL bagi melengkapkan siasatan.
“Tidak apa kalau Afdlin mahu menolak dan menafikan tuduhan tersebut, itu hak beliau.
“Tetapi kita dari sudut tata kelola jabatan khususnya dan agensi kena jalankan (siasatan) yang sepatutnya.
“Siasatan sedang dijalankan, saya menunggu hasilnya, kalau (Afdlin) tidak bersalah, tidak ada masalah,” katanya menurut Astro Awani.
Beliau ditemui selepas merasmikan Hari Terbuka Pertanian Bandar dan Kelulut Putrajaya (HTPBKP) 2025 di Putrajaya.
Semalam, Afdlin membuat laporan polis terhadap tuduhan salah laku dalam perolehan sebuah projek bawah naungan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Afdlin juga menafikan terdapat apa jua unsur salah laku dalam perolehan projek berkenaan, dan mendakwa ia usaha pihak tidak bertanggungjawab untuk memburukkan namanya.
Pada 28 Jan, seorang pembantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata namanya disalah guna dalam hantaran media sosial mendakwa seorang Ahli Lembaga Penasihat DBKL terlibat dalam penganugerahan projek bernilai RM4 juta tanpa tender terbuka.
Kontroversi itu berkisar dakwaan projek penerbitan DBKL itu dianugerahkan kepada sebuah syarikat milik ‘kroni’ ahli lembaga penasihat itu tanpa melalui proses tender yang sewajarnya.
Hantaran itu mendakwa, Anwar dan setiausaha politiknya, Azman Abidin, maklum tentang projek-projek dipohon ahli lembaga penasihat itu, mendorong pengarah DBKL mempercepat kelulusan.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram