
Mangsa, Muhammad Syamie Farhan Adnan, 25, dan isteri, Nurul Syafika Anis Zulkifli, 26, disahkan meninggal dunia di lokasi akibat tersepit, dalam kejadian kira-kira 1 pagi itu, menurut Berita Harian.
Dua anak mereka, Nur Irdina Delisha berusia 10 bulan dan Muhammad Izz Danial, 5, dikejarkan ke Hospital Gua Musang untuk rawatan lanjut.
Ketua Polis Gua Musang, Sik Choon Foo, berkata kejadian membabitkan Perodua Myvi dan treler dipandu lelaki berusia 45 tahun.
Katanya, kejadian dipercayai berlaku ketika mangsa dalam perjalanan dari arah Kuala Krai menghala ke Gua Musang.
“Apabila tiba di lokasi kejadian, mangsa yang mengambil selekoh ke kanan jalan hilang kawalan dan masuk ke laluan bertentangan lalu bertembung dengan treler.
“Pertembungan terbabit menyebabkan treler terbabas dan terbalik sehingga melintang jalan, manakala kereta mangsa terbabas ke bahu kiri jalan.
“Mangsa bersama isteri yang juga penumpang hadapan tersepit dalam kenderaan dinaiki mereka dan berjaya dikeluarkan oleh pihak bomba,” katanya dalam kenyataan hari ini, menurut Berita Harian.
Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kematian dan siasatan lanjut masih dijalankan.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian boleh menghubungi Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Gua Musang di talian 099121222 atau Pegawai Penyiasat 013-3010408,” katanya.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram