
Pengerusi Abdul Rashid Yob, berkata ia penting bagi meringankan beban ditanggung pesawah kesan peningkatan kos operasi, jika kerajaan keberatan meningkatkan harga beras di pasaran.
Katanya, jika harga lantai belian padi kekal pada RM1,300 satu tan, pesawah akan mengalami kerugian memandangkan kos pengeluaran naik hampir 55%.
“Kalau nak naik harga beras mungkin rakyat akan marah, kalau tak naik harga beras kami pesawah akan jadi masalah…jadi sekarang kerajaan kena berjiwa besar nak mengimbangkan rakyat, pengilang, dan petani.
“Kita cadang subsidi bagi setiap tan padi ditambah RM500 kepada RM1,000 sebab kita tahu kerajaan mampu sebab Felda mereka boleh tambah peruntukan, subsidi untuk beras di Sabah Sarawak juga ditambah selepas penyasaran subsidi diesel,” katanya kepada FMT.
Abdul Rashid berharap kerajaan menyelesaikan segera tuntutan memandangkan ada kawasan memasuki musim menuai.
“Kita harap dalam tempoh dua minggu ini ada berita baik untuk petani, sebab ada kawasan hasil padi sudah boleh dituai, tapi pesawah tangguh dulu sebab tunggu penyelesaian kerajaan,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berharap Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (Mada) dan kerajaan memperincikan cadangan menerapkan harga belian padi ikut pasaran semasa beras.
Sambil menggambarkan ia sukar dilaksanakan, Abdul Rashid berkata ia akan merumitkan pengilang dan petani walaupun harga beras dunia turun ketika ini, namun petani kekal menanggung kos operasi meningkat.
“Cadangan Mada itu kita tak kata kita tolak, tapi kita minta perincikan mekanisme macam mana akan digunakan susulan cadangan tersebut,” katanya kepada FMT.
Semalam, Pengerusi Mada Ismail Salleh, berkata pihaknya mencadangkan pelan jangka pendek supaya harga padi ikut pasaran semasa beras bagi membela kebajikan pesawah.
Mada turut mencadangkan rancangan jangka panjang untuk menaikan harga lantai belian pada yang kini ditetapkan pada kadar RM1,300 per tan metrik.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram