
“Jika kita mempelajari lebih banyak bahasa, ia memberi manfaat kepada kita, terutamanya semasa berurusan. Sebagai contoh, ia amat berguna ketika saya sedang mencari pekerjaan,” katanya wanita berusia 37 tahun lebih dikenali sebagai ‘Nora Laoshi’ atau Cikgu Nora itu.
Norain, yang dibesarkan di Sekinchan, belajar di sekolah aliran Cina dari tadika hingga sekolah menengah dan sentiasa bercakap dalam bahasa Mandarin dengan rakan sekolah dan penduduk di bandarnya.
Laluanya sebelum bergelar Nora Laoshi bermula dengan cadangan mudah daripada rakan suaminya pada 2018 supaya dia memulakan kelas tuisyen dalam bahasa Mandarin. Ini membuatkan dia sedar bahawa dirinya boleh membantu pelajar bukan Cina yang bergelut dengan bahasa itu.
Dia pada mulanya mengadakan kelas di rumah tetapi beralih kepada pengajaran dalam talian semasa pandemik. Ini membolehkan dia memberi tunjuk ajar kepada pelajar dari Sarawak, Perak dan Negeri Sembilan.
Malah, dia juga mengajar bahasa Mandarin kepada seorang rakyat Malaysia yang tinggal di Amerika Selatan!

Hari ini, Norain mengajar lebih 10 pelajar berumur antara lima hingga 15 tahun. Menariknya, dia mengendalikan kelasnya di kafe.
“Ia lebih mudah, membolehkan saya mengajar walaupun ketika sibuk,” jelasnya, sambil menyatakan bahawa dia memilih kawasan lebih senyap yang menawarkan persekitaran pembelajaran lebih kondusif.
Katanya, dia pernah mengadakan kelas bahasa Mandarin di sekolah Al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) swasta – di tempat di mana ramai mungkin tidak menyangka bahasa itu ditawarkan.
“Saya fikir ia bagus kerana ibu bapa tidak perlu mencari tempat alternatif untuk anak-anak mereka belajar bahasa Mandarin,” katanya.
Norain mendapat kepuasan apabila melihat pelajarnya menjadi lebih fasih dalam bahasa itu di bawah bimbingannya.

“Bagi saya, perkara yang paling bermakna ialah membimbing mereka yang tidak mempunyai pengetahuan bahasa Mandarin untuk bertutur, membaca dan menguasai bahasa dengan baik,” katanya sambil menambah bahawa dia amat berbangga dengan pelajarnya.
Norain juga mewujudkan pemahaman budaya melalui akaun TikToknya, di mana dia berkongsi pelajaran yang menarik tentang perbendaharaan kata Mandarin. Sehingga kini, dia telah mengumpul lebih 34,000 pengikut.
Sememangnya, mendengar orang bukan Cina fasih berbahasa Mandarin sering menimbulkan rasa ingin tahu, yang membuka perbualan.
Dia teringat satu peristiwa ketika dia memutuskan untuk mengendalikan kelasnya di kedai mamak kerana terlewat. Seorang pelanggan Cina menyedari pengajarannya dan memujinya sambil berasa kagum.

Ada satu ketika dia bercakap dengan anak sulungnya dalam bahasa Mandarin semasa berada di sebuah pasar raya. “Seorang wanita warga emas mendengar kami dan bertanya, ‘Anak awak bercakap Mandarin? Awak cakap Mandarin juga?’
“Saya berasa agak malu, tetapi saya menjawab ya. Dia kemudian berkata, ‘Itu bagus. Suruh dia terus belajar’.”
Seperti bapanya, Norain telah mendaftarkan dua anak lelakinya di sekolah Cina kerana percaya pengalaman itu akan memberi mereka kelebihan pada masa hadapan, terutamanya dari segi peluang kerjaya.
Mengenai sebab ibu bapanya memilih untuk mendaftarkannya di sekolah Cina, dia berkata bapanya adalah seorang kontraktor yang bekerja dengan pembekal Cina dan mempunyai ramai kawan Cina. Dia percaya berbahasa Mandarin akan memberi manfaat untuknya.
Sambil tersenyum, dia berkata setiap kali bapanya membawanya berjumpa dengan pembekalnya, mereka akan mendapat diskaun apabila dia bercakap dengan mereka dalam bahasa Mandarin!

“Ia bukan perkara negatif: mereka hanya menghargai melihat seseorang dari kaum lain bercakap bahasa mereka, sama seperti kita mengalu-alukan orang lain untuk mempelajari bahasa kita,” katanya.
Pada Tahun Baru Cina, pembekal bapanya juga akan menjemput keluarganya ke rumah mereka.
“Apabila kita bergaul dengan orang lain daripada kaum yang berbeza, ia menyeronokkan,” kata Norain mengakhiri. “Malaysia adalah sebuah negara berbilang kaum, dengan pelbagai budaya dan bahasa. Itulah yang menjadikan negara kita menarik dan berwarna-warni.”
Ikuti Nora Laoshi di TikTok.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram