HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Usaha bantu Gaza tak jejas pembangunan prasarana negara, kata Abim

-

NGO Islam pertahan pelan perdana menteri bantu bangun semula Gaza

3
Shares
Total Views: 256
Free Malaysia Today
Dilaporkan sebelum ini kerajaan pimpinan Perdana Menteri Anwar Ibrahim memperuntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk BAP sebanyak RM150 sekali beri kepada setiap pelajar. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA:
Sebuah NGO Islam mengingatkan tentang bantuan kerajaan buat sekolah dan hospital di seluruh negara dalam mempertahankan perdana menteri yang dikritik berhubung inisiatif kerajaan membangunkan semula Gaza.

Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) Ahmad Fahmi Samsudin berkata, kerajaan telah menyalurkan bantuan awal persekolahan (BAP) agar pelajar dapat membuat persediaan bagi sesi persekolahan akan datang.

Dilaporkan sebelum ini kerajaan memperuntukkan sejumlah RM791,250,000 khusus untuk BAP sebanyak RM150 sekali beri kepada setiap pelajar.

Lebih 5.2 juta pelajar dijangka mendapat manfaat daripada program itu, yang bertujuan membantu pelajar melengkapkan persiapan bagi tahun persekolahan baharu.

Menurut Fahmi, kerajaan juga memperuntukkan dana untuk membina 44 lagi sekolah bawah Belanjawan 2025.

Selain itu, katanya, RM1.35 bilion telah diperuntukkan untuk meningkatkan kualiti penjagaan kesihatan di negara ini, selain membina hospital tambahan.

“Usaha aktif membela karamah insaniah warga Gaza serta Palestin keseluruhan juga tidak menjejaskan program pembangunan infrastruktur penting seperti sekolah dan hospital di negara ini,” kata Fahmi dalam kenyataan.

Tambah Fahmi, kerajaan turut menyalurkan Sumbangan Tunai Rahmah (STR), yang disasarkan untuk membantu rakyat, terutamanya golongan B40, menanggung beban kos sara hidup yang semakin meningkat.

Pada Rabu, Anwar berkata, Malaysia akan memulakan usaha membangunkan semula Gaza dengan membina sekolah, hospital dan masjid sebagai sebahagian daripada inisiatif yang lebih luas dengan kerjasama Jepun.

Katanya, projek-projek itu akan dilaksanakan dengan sokongan sektor swasta dan rakyat Malaysia.

Susulan itu, bekas menteri Rafidah Aziz menerusi hantaran di Facebook berkata, Putrajaya harus memberi perhatian kepada Malaysia terlebih dahulu, memetik keadaan daif kebanyakan sekolah luar bandar, serta kekurangan di hospital kerajaan.

Awal hari ini, Anwar membalas kritikan terhadapnya, yang turut datangnya daripada pemimpin terdahulu, dengan bertanya sama ada mereka mempunyai perasaan belas kasihan dan ihsan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.