
Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof, berkata APKS di bawah Kementerian Dalam Negeri itu menandakan komitmen kerajaan Madani mewujudkan rangka kerja kawalan sempadan lancar dan cekap.
“Era globalisasi yang sedang berada di hadapan kita pada hari ini menuntut semua pihak bersedia dengan keperluan sistem pengurusan sempadan lebih mantap dan bersepadu.
“Pelbagai usaha serta inisiatif telah dirintis kerajaan dalam usaha memastikan Malaysia kekal sebagai negara perdagangan berdaya saing dengan penyampaian perkhidmatan di pintu-pintu masuk negara yang cekap dan berintegriti,” katanya menurut Bernama ketika berucap pada Majlis Pelancaran AKPS, di Sepang.
Hadir sama, Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil, Menteri Besar Selangor Amirudin Shari, dan Ketua Polis Negara Razarudin Hashim.
Dalam pada itu, Fadillah berkata, keperluan penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam strategi kawalan sempadan negara dilihat sangat kritikal.
Menurutnya, penggunaan teknologi AI membantu pegawai di pintu masuk memantau, menilai, merancang serta menguatkuasakan tindak balas terhadap sebarang bentuk ancaman.
“Sebagai contoh, penyelarasan dan analisis data daripada kamera litar tertutup (CCTV), dan mesin pengimbas barangan di pintu masuk yang dilengkapi teknologi AI akan mempertingkatkan keupayaan para pegawai dalam membangunkan analisis risiko di pintu masuk.
“Pendekatan proaktif ini boleh membantu agensi seperti AKPS memintas potensi ancaman sebelum ia berlaku, sekali gus meningkatkan tahap keselamatan secara keseluruhan di pintu masuk dan sempadan negara,” katanya.
Selain itu, Fadillah berkata data dipacu dengan algoritma lanjutan AI, contohnya pengecaman wajah dan pemprosesan dokumen pintar akan membantu memperkemas proses pemeriksaan serta barangan oleh pegawai.
AKPS ditubuhkan secara rasmi selepas pewartaan Akta Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (Akta 860) pada 17 Okt 2024, dan diterajui Hazani Ghazali sebagai ketua pengarah pertama.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram