SKMM panggil Astro, Era FM beri penjelasan persenda kepercayaan Hindu

SKMM panggil Astro, Era FM beri penjelasan persenda kepercayaan Hindu

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata pihaknya menerima aduan pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio itu.

Fahmi Fadzil dan Aaron Ago Dagang
Fahmi Fadzil berkata SKMM diarah menjalankan siasatan terperinci insiden babit Era FM manakala Aaron Ago Dagang gesa tindakan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
PETALING JAYA:
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) akan memanggil Astro dan pengurusan sebuah stesen radio di bawahnya bagi memberi penjelasan berhubung dakwaan mempersenda upacara agama lain.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata beliau mengeluarkan arahan itu selepas pihaknya menerima aduan daripada pelbagai pihak berhubung tindakan kakitangan stesen radio terbabit.

“Saya telah mengarahkan SKMM menjalankan siasatan terperinci, termasuk memanggil pihak Astro serta pengurusan stesen radio tersebut untuk hadir ke ibu pejabat bagi memberikan penjelasan penuh.

“Ini bertujuan untuk memastikan tindakan boleh diambil berdasarkan peraturan dan undang-undang sedia ada,” katanya dalam kenyataan.

Terdahulu, penyampai radio 3 Pagi Era memohon maaf atas video kontroversi mempersenda tarian kavadi Hindu, upacara suci dilakukan ketika Thaipusam kepada Dewa Murugan.

Video yang sudah diturunkan dalam platform media sosial stesen itu, memaparkan seorang penyampai meniru tarian kavadi, sambil menyebut ‘Vel Vel’ disusuli gelak tawa.

Klip itu mengundang kritikan meluas dengan kebanyakan berupa penghinaan kepada tradisi Hindu.

Dalam hantaran di akaun Instagram Era FM, Nabil Ahmad, Azad Jasmin, dan Radin Amir Affendi Ahmad Aruani memohon maaf atas video tersebut dan mengakui ia tidak sensitif, terutama kepada masyarakat India.

Sementara itu, Menteri Perpaduan Negara, Aaron Ago Dagang, menyeru SKMM mengambil tindakan bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 ke atas Era FM.

“Ia bagi memastikan sebarang penyebaran kandungan mempersenda atau menghina agama di media massa dikenakan tindakan sewajarnya,” katanya yang mengutuk perbuatan itu.

“Tindakan sedemikian jelas bertentangan dengan prinsip-prinsip Rukun Negara yang menjadi asas negara ini.

“Kita harus sentiasa menjaga dan menghormati sensitiviti agama dan budaya yang ada di Malaysia.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.