Wanita didakwa cederakan suami guna batang penyapu, pisau

Wanita didakwa cederakan suami guna batang penyapu, pisau

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni berkata kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami luka dan lebam serta kecederaan tisu lembut.

seremban court
Sharifah Nurul Ainasama Syed Omar mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menyebabkan kecederaan pada Muhammad Danial Zafri Zairi dalam kejadian pada 26 Feb lalu. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang wanita didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas tuduhan menyebabkan kecederaan pada suaminya menggunakan batang penyapu, alat pemberat dan sebilah pisau di sebuah rumah, 26 Feb lalu.

Sharifah Nurul Ainasama Syed Omar, 40, yang bekerja sebagai pendandan rambut mengaku tidak bersalah selepas tuduhan dibacakan di hadapan Hakim Surita Budin, lapor Sinar Harian.

Mengikut pertuduhan, Sharifah Nurul sengaja menyebabkan kecederaan ke atas Muhammad Danial Zafri Zairi, 31, menggunakan batang penyapu, alat pemberat dan sebilah pisau di sebuah rumah di Taman Iringan Bayu, Seremban pada 26 Feb lalu.

Wanita itu didakwa mengikut Seksyen 324 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara 10 tahun, atau denda, atau sebat, atau mana-mana dua daripada hukuman-hukuman itu.

Timbalan Pendakwa Raya, Norazihah Asmuni berkata kejadian itu menyebabkan mangsa mengalami luka dan lebam serta kecederaan tisu lembut.

Norazihah juga mencadangkan tertuduh diberikan jaminan RM20,000 dengan seorang penjamin berserta syarat tertuduh tidak boleh mengganggu saksi.

Sharifah Nurul yang tidak diwakili peguam merayu jaminan dikurangkan kerana perlu menanggung dua anak selain memberitahu kejadian itu berlaku selepas dia terlebih dahulu dipukul suaminya.

Selepas mendengar rayuan tertuduh, hakim menetapkan jaminan RM10,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan syarat seperti yang dipohon pihak pendakwaan.

Kes disebut semula 14 April ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.