
Chow yang kini naib pengerusi DAP bulan lalu mengesahkan akan bertanding kerusi Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC).
Seorang pemimpin DAP yang enggan namanya disiarkan berkata, Chow mendapat sokongan beberapa pemimpin tertinggi untuk jawatan itu.
Sumber itu berkata, jawatan paling berkuasa dalam parti iaitu setiausaha agung kini dipegang Loke Siew Fook.
Terdapat keperluan untuk mempunyai pengerusi yang dapat bekerjasama dengan Loke, tambah sumber itu.
“Chow orang yang sesuai dan saya fikir dia tidak kisah mengambil alih peranan memandangkan hubungannya yang retak dengan Lim,” kata sumber itu kepada FMT.
Spekulasi keretakan hubungan antara Lim dan Chow timbul lagi baru-baru ini selepas laporan berita mendakwa Chow merancang perjalanan ke Jepun untuk mengelak daripada menghadiri majlis makan malam yang dilihat sebagai acara untuk mengumpulkan sokongan kepada Lim menjelang pemilihan parti pada 16 Mac.
Chow kemudian menolak dakwaan itu.
Sumber itu berkata, Chow dilihat sebagai tokoh neutral dengan sokongan padu di Pulau Pinang, di mana parti mempunyai pengaruh besar.
“Dia bukan seorang yang ‘kepala angin’ dan mudah diajak bekerja.”
Khabar angin nama Chow dikemukakan untuk menggantikan Lim sebagai pengerusi menyokong dakwaan ‘desakan beramai-ramai’ bagi menyingkirkan Lim daripada jawatan kepimpinannya dalam DAP.
Menurut sumber dalaman parti, sentimen terhadap Lim, bekas ketua menteri Pulau Pinang dua penggal, telah tersimpan bertahun lamanya, dengan ahli yang kecewa dengan teguran terbukanya terhadap Chow.
Ahli Parlimen Bagan itu juga dilihat sebagai ‘liabiliti yang semakin meningkat’, kata sumber.