
Malaysia tidak terlepas, dengan lebih 34,000 kes penipuan dalam talian yang dilaporkan pada 2023, mengakibatkan kerugian melebihi RM54 bilion antara Januari dan Oktober.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berazam untuk menjadikan internet sebagai ruang yang lebih selamat untuk semua rakyat, lebih-lebih lagi apabila warga emas dan kanak-kanak berulang kali menjadi sasaran.
Beberapa usaha SKMM bagaimanapun menarik perhatian, antaranya keperluan platform media sosial dilesenkan yang menyaksikan kumpulan masyarakat menyoal sama ada tindakan ini menjejaskan kebebasan bersuara dan hak privasi.

Maka apa sebenarnya peranan SKMM dalam mengawal selia media sosial?
Pemantau tanpa taring atau satu keperluan?
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menjelaskan SKMM sebenarnya tidak menurunkan kandungan. Ia hanya memudahkan perbincangan antara penguatkuasa undang-undang dan platform media sosial, yang kebanyakan tidak mempunyai pejabat tempatan.
“Orang di SKMM adalah orang tengah, mereka yang menghubungkan kedua-dua pihak, kerana kita mempunyai undang-undang yang membolehkan kita mengawal ruang ini,” katanya kepada FMT.
Fahmi berkata SKMM tidak boleh memaksa platform seperti Facebook, TikTok atau X (dahulunya Twitter) untuk memadam catatan.
Sebaliknya, suruhanjaya itu hanya boleh menasihati mereka dan pemilik mengenai berdasarkan aduan awam atau arahan kerajaan. Sama ada tindakan diambil atau tidak terhadap sesuatu catatan yang menyinggung perasaan bergantung pada dasar sesebuah platform.
Fahmi juga berkata SKMM tidak berada pada kedudukan untuk mengawal semua kandungan yang disiarkan di media sosial, memandangkan jumlah yang terlalu banyak.
“Terdapat banyak kandungan yang diterbitkan sehingga hampir mustahil untuk kami menjejakinya secara manual atau pun menerusi program,” katanya.
Contohnya iklan perjudian dalam talian yang menyalahi undang-undang, yang mana SKMM menghabiskan banyak masa untuk menandainya. Bagaimanapun, beberapa platform lambat bertindak.
“Itulah sebabnya kami melibatkan mereka agar dapat dilesenkan. Kami mahu mereka faham rangka kerja kawal selia kita,” katanya.
Perkukuh pengawasan
Dalam usaha untuk mengukuhkan pengawasan media sosial, SKMM menetapkan semua platform dengan lebih lapan juta pengguna Malaysia perlu peroleh Lesen Kelas Pembekal Perkhidmatan Aplikasi atau ASP(C) di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia.
Dasar itu, yang berkuat kuasa pada 1 Jan 2025, bertujuan memastikan undang-undang dipatuhi.
Fahmi menegaskan langkah ini bukan mengenai penapisan, tetapi memastikan syarikat yang beroperasi di Malaysia mematuhi peraturan.
“Kami mahu (syarikat media sosial) menghormati undang-undang kita. Mereka boleh buat wang di Malaysia tetapi tidak boleh benarkan penjenayah beroperasi secara bebas.
“Ia mengimbangi kebebasan bersuara dan bebas daripada ketakutan. Anda tidak mahu berasa takut berbual apabila melayari talian,” katanya.
Kata-kata menteri itu senada dengan kebimbangan di serata dunia mengenai pengesahan identiti dalam talian, kerana banyak pengawal selia bergelut tentang cara mengesahkan identiti pengguna sambil memelihara hak privasi.
“Sekiranya anda cukup berani untuk menyatakan sesuatu atau menerbitkan iklan, dan jika ia melanggar undang-undang, maka anda perlu berani menghadap mahkamah,” tegas Fahmi.
Mengimbangi kebebasan dan keselamatan
Selain peraturan, SKMM juga tumpu usaha pada menjadikan internet lebih selamat, terutama untuk kanak-kanak dan keluarga.
Kerajaan melancarkan kempen keselamatan dalam talian di Universiti Malaysia Kelantan baru-baru ini, dan jelajah ini akan diperluaskan ke seluruh negara.
Walaupun negara seperti Australia mempertimbangkan untuk mengharamkan akses media sosial bagi kanak-kanak di bawah umur, Malaysia mengambil pendekatan berbeza dengan menekankan pendidikan, kawalan ibu bapa, dan kebertanggungjawaban di pihak penyedia platform.
Fahmi berkata algoritma media sosial boleh beri kesan ketara kepada tingkah laku dan corak pemikiran kanak-kanak, maka mengalakkan penyederhanaan kandungan adalah penting berbanding pengharaman.