
Dalam satu kenyataan petang tadi, Kok berkata Edmund Teoh akan direman sehingga Ahad.
Teoh dan seorang lagi bekas kakitangan, Ng Yoot Kuen, dipanggil oleh SPRM untuk memberikan kenyataan mereka.
“Saya tidak mempunyai pengetahuan atau penglibatan dalam sebab-sebab di sebalik keputusan SPRM untuk menahan reman (Teoh), dan ia benar-benar di luar kawalan saya,” kata Kok.
Ahli Parlimen Seputeh itu berkata pada November lalu beliau membangkitkan persoalan mengenai rasional di sebalik permintaan dan peruntukan papan pintar oleh Jabatan Pendidikan Wilayah Persekutuan.
Beliau berkata ucapannya diterbitkan sepenuhnya di platform media sosial untuk ketelusan dan rekod awam.
“Penting untuk ditegaskan bahawa ucapan saya bukanlah serangan terhadap mana-mana individu atau jabatan tetapi seruan supaya telus berhubung perbezaan dalam perolehan papan pintar oleh jabatan itu,” katanya.
Kok, yang merupakan naib pengerusi DAP, berkata beliau berasa kesal dan kecewa kerana beliau dipersalahkan secara tidak adil oleh ahli parti sendiri dan keluarga bekas kakitangannya berhubung keputusan SPRM menyoal Teoh dan Ng.
Beliau berkata SPRM selaku badan bebas, keputusan dan tindakannya “adalah hak tersendiri”, dan tiada siapa, termasuk dirinya, mempunyai sebarang kuasa atau pengaruh ke atas SPRM.
“Oleh itu, saya menggesa semua pihak mengelak daripada terlibat dalam spekulasi tidak berasas atau membuat tuduhan tidak berasas pada masa ini,” katanya.
Kok berkata siasatan pihak berkuasa mesti dibenarkan berjalan tanpa halangan, dan SPRM perlu diberi ruang untuk menjalankan tugas secara saksama dan teliti.