
Berdasarkan keputusan PRU15 pada 2022, PAS yang mewakili Perikatan Nasional (PN) menguasai empat pusat daerah mengundi (PDM) iaitu Kampung Batu Masjid, Kampung Batu Tiga, Tanjong Keramat dan Changkat Petai yang mempunyai keseluruhan 6,303 pengundi, majoritinya Melayu.
BN pula menguasai sembilan PDM manakala Amanah yang mewakili Pakatan Harapan (PH) menang di tujuh kawasan.
Ketua Pemuda Umno Tapah Fahmi Ahmad Jakhisi berkata pembentukan kerjasama di bawah komponen kerajaan perpaduan mampu memberi kelebihan kepada calon mereka untuk menawan empat PDM dimenangi PN.
“Kalau betul caranya dan tengok pada keadaan sekarang kita boleh rampas balik (kawasan dimenangi PAS). Kita pun dah ada dalam perpaduan, jadi lebih mudah untuk rampas PDM yang kalah berdasarkan gabungan undian,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata kejayaan pentadbiran Menteri Besar Saarani Mohamad dalam membawa kemajuan kepada negeri dan Tapah khususnya dijangka mampu membuka mata pengundi kawasan itu, khususnya anak muda yang mewakili 40% jumlah pengundi.
“Pengundi muda dah ramai, jadi kita kena fokus pengundi baru supaya mereka dapat lihat perubahan-perubahan yang sudah berlaku di kawasan kita ketika di bawah pentadbiran BN,” katanya.
PRK DUN Ayer Kuning diadakan bagi mengisi kekosongan susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin, pada 22 Feb, selepas rebah ketika menyertai perlawanan bola sepak di Pulau Pinang.
Pada PRU15 November 2022, beliau menang dengan majoriti 2,213 undi dalam pertembungan lima penjuru.
DUN itu mempunyai 32,035 pemilih berdaftar membabitkan Melayu 18,035 (56%), Cina 6,943 (22%), India 4,643 (15%), Orang Asli 2,147 (7%) dan lain-lain 277.
Sementara itu, pemangku ketua Umno Tapah Khairul Azmi Ghazali berkata pengundi di kawasan terbabit sudah bijak dan tidak termakan dengan sentimen 3R (raja, agama, kaum) yang mendominasi kempen pada PRU lalu.
“Pengundi sekarang dah bijak, jadi kita berkempen pun kena bijak, itu dua kali lebih baik berbanding kempen yang tiada hala tuju,” katanya.