Tak ‘pahlawan’ tolak draf MoU, PN diberitahu

Tak ‘pahlawan’ tolak draf MoU, PN diberitahu

Penganalisis berkata pembangkang perlu mengambil peluang berbincang jika benar-benar ikhlas membantu rakyat.

Muhyiddin Yassin dilaporkan berkata PN mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.
PETALING JAYA:
Pembangkang dilihat tidak ‘pahlawan’ dalam membela nasib rakyat kerana terlalu awal menolak draf memorandum persefahaman (MoU) dirangka kerajaan, kata penganalisis.

Syaza Shukri dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berkata, jika Perikatan Nasional (PN) dipimpin Muhyiddin Yassin tidak setuju dengan draf itu maka gabungan tersebut perlu mengadakan perbincangan bagi memastikan bantuan sampai kepada rakyat.

Syaza Shukri
Syaza Shukri.

“Ini baru dapat satu draf dah tolak. Mana bukti pahlawan macam tu? Ini semua usaha mereka untuk teruskan naratif kerajaan kejam. Kalau dah dapat peruntukan tiada modal lagi untuk naratif tersebut,” katanya kepada FMT.

Semalam, Muhyiddin dilaporkan berkata PN mempunyai sebab dan asas tersendiri untuk tidak bersetuju dengan syarat ditetapkan kerajaan dalam isu peruntukan kepada Ahli Parlimen pembangkang.

Pengerusi PN mendakwa, pihaknya bertegas syarat ditetapkan dalam MoU itu adalah luar biasa dan ketat seolah-olah terpaksa menyerahkan segala-galanya kepada kerajaan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim sekali lagi meminta pembangkang menyertai rundingan MoU peruntukan sama rata kerana syaratnya sentiasa terbuka untuk rundingan.

Anwar mengulangi banyak pertemuan diadakan dengan perdana menteri ketika itu, semasa beliau menjadi ketua pembangkang.

Mengulas lanjut, Syaza berkata pembangkang perlu mengambil peluang itu untuk berbincang jika benar-benar ikhlas membantu rakyat.

Azmi Hassan.

Sementara itu, Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata kerajaan tidak pernah menetapkan syarat dengan menerima peruntukan tersebut maka tugas Ahli Parlimen pembangkang terganggu.

“Tiada syarat mengatakan PN tidak boleh mengkritik dan hanya perlu menyokong perkara dasar dinyatakan kerajaan perpaduan, tidak ada itu semua. Kalau Syed Saddiq (Syed Abdul Rahman) boleh terima syarat itu, kenapa tidak PN.

“Bila PN buat begitu nampak sangat mereka bermain politik, pentingkan agenda parti dan belakangkan pengundi kawasan mereka,” katanya.

Sebelum ini, Timbalan Perdana Menteri Fadillah Yusof berkata status draf perjanjian antara kerajaan dan Syed Saddiq yang juga Ahli Parlimen Muar untuk menerima dana wakil rakyat kini berada di fasa akhir.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.