PAS Perak tak larang Razman kempen di Ayer Kuning

PAS Perak tak larang Razman kempen di Ayer Kuning

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak Mohd Akmal Kamaruddin berkata semua pemimpin PN dialu-alukan membantu memenangkan calon komponen.

Razman Zakaria
Razman Zakaria yang juga Adun Gunong Semanggol dikatakan ‘direhatkan’ daripada jawatan pesuruhjaya PAS Perak, menurut laporan media. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Ketua Pembangkang Perak Razman Zakaria yang terpalit kontroversi susulan ceramahnya sehingga mengundang saman fitnah tidak dihalang untuk turun berkempen pada PRK DUN Ayer Kuning, bulan depan.

Timbalan Pesuruhjaya PAS Perak, Mohd Akmal Kamaruddin, berkata isu itu tidak berbangkit dan semua pemimpin Perikatan Nasional (PN) dialu-alukan membantu memenangkan calon komponen sekali gus merampas kerusi terbabit.

PAS akan mewakili PN pada PRK Ayer Kuning yang penamaan calon ditetapkan 12 April depan manakala pengundian 26 April.

“Semua pimpinan termasuk YB Razman tidak dihalang untuk membantu kempen memenangkan PN di PRK Ayer Kuning.

“Sesiapa sahaja boleh turun kempen dengan berhemah yang boleh menarik pengundi menyokong PN,” katanya kepada FMT mengulas sama ada Razman akan dinasihatkan tidak turun berkempen untuk PN memandangkan kontroversi dicetuskannya.

Razman yang juga Adun Gunong Semanggol dikatakan ‘direhatkan’ daripada jawatan pesuruhjaya PAS Perak, menurut laporan Sinar Harian, namun sehingga kini tiada sebarang pengesahan berhubung perkara itu.

Laporan itu mendakwa, keputusan dibuat PAS pusat susulan beberapa isu membabitkan Razman, termasuk yang terbaru mengaitkan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh dengan Kumpulan YTL Corporation Berhad (YTL).

Razman telah memohon maaf kepada Yeoh dan pihak terkesan dengan ucapannya mengaitkan pemimpin DAP dengan itu dengan keluarga Yeoh yang memiliki YTL.

Timbalan pengerusi PN Perak itu juga mendakwa beliau disaman Yeoh kerana mengaitkan pemimpin DAP tersebut dengan dakyah Kristianisasi.

Akmal yang juga Adun Selama menafikan parti itu mempunyai kaitan dengan dakwaan seorang pengguna sosial konon sebuah ‘masjid air kuning’ di negeri itu sudah tidak boleh melaungkan azan menggunakan pembesar suara.

“Provokasi itu bukan daripada PAS atau PN, kita memang menghormati institusi masjid yang di bawah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah, katanya menasihatkan ahli gabungan tidak berkempen di rumah ibadat terbabit.

“Walaupun kita bersemangat berlawan jangan sampai tersilap (berkempen) di masjid dan surau, semua pihak perlu berhati-hati.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.