Hajiji tegur ketua PKR Sabah ‘risik’ kawasan GRS

Hajiji tegur ketua PKR Sabah ‘risik’ kawasan GRS

Mustapha Sakmud ada nyata hasrat bertanding DUN Tempasuk disandang pemimpin Gagasan Rakyat, Mohd Arsad Bistari.

Pengerusi GRS dan presiden Gagasan Rakyat, Hajiji Noor, berkata GRS akan mempertahankan semua kerusi disandang menjelang PRN Sabah. (Gambar JKM)
PETALING JAYA:
Hajiji Noor memberi isyarat ‘tidak setuju’ sekiranya Pakatan Harapan (PH) ingin bertanding di kawasan disandang wakil Gabungan Rakyat Sabah (GRS) menjelang PRN17.

Ketua menteri berkata demikian mengulas hasrat Ketua PKR Sabah Mustapha Sakmud menyatakan sedang ‘risik-risik’ bertanding di DUN Tempasuk, disandang pemimpin Gagasan Rakyat, Mohd Arsad Bistari.

“Saya dengar juga itu, tapi kadang-kadang beginilah orang politik. Dia tidak tahu itu kerusi orang lain. Salahkah bagi saya kalau cakap, kita pertahankan kerusi yang kita sandang. Jadi fikir-fikirkanlah.

“Jangan kerusi orang lain pun kita ambil, macam mana kita kerjasama, bukankah? Saya bukan kacau orang lain, saya atur saya punya parti sendiri. Saya tidak mahu cakap panjang,” katanya menurut Berita Harian di Kota Kinabalu.

Dalam pada itu, pengerusi GRS dan presiden Gagasan Rakyat, menegaskan GRS akan mempertahankan semua kerusi disandangnya ketika ini.

“Memanglah kita akan pertahankan kerusi-kerusi yang kita ada sekarang ini.

“Tapi, siapa (calon) boleh menang, itu yang kita akan bagi,” katanya.

Beliau berkata, perbincangan akan dilakukan dengan parti komponen GRS terlebih dahulu sebelum diteruskan dengan parti gabungan dalam kerajaan sekarang iaitu Pakatan Harapan (PH) Plus.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.