Petronas, Petros akan perinci butiran peranan agregator gas

Petronas, Petros akan perinci butiran peranan agregator gas

Usaha itu bertujuan memastikan hak dan berkepentingan termasuk pelanggan akhir dan pelabur dipertimbang sewajarnya.

Petronas
Petronas berkata, pertimbangan paling utama akan diberikan untuk memastikan kepastian dalam iklim pelaburan.
KUALA LUMPUR:
Petronas sedang bekerjasama rapat dengan kerajaan persekutuan, kerajaan Sarawak, serta Petroleum Sarawak Bhd (Petros) berhubung butiran peranan masa depan Petros sebagai agregator gas negeri.

Dalam kenyataan, Petronas berkata usaha ini bertujuan memastikan hak dan kepentingan semua pihak termasuk pelanggan akhir dan pelabur dipertimbangkan dengan sewajarnya.

“Pertimbangan yang paling utama akan diberikan untuk memastikan kepastian dalam iklim pelaburan,” katanya ketika mengulas pertanyaan Bernama berhubung sebuah laporan berita yang menyatakan sebaliknya berhubung kemajuan kerjasama antara Petronas dan Petros.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini, berkata kerajaan persekutuan akan mengadakan pertemuan dengan kerajaan Sarawak untuk memperincikan skop kerjasama antara Petros dan Petronas.

Beliau berkata, perbincangan itu bertujuan meneroka kerjasama yang akan dijalankan kedua-dua syarikat melibatkan mana-mana projek baharu dalam apa jua bidang.

Pada Februari, Anwar berkata Petronas akan memenuhi semua obligasi berkontrak domestik dan antarabangsa manakala Petros akan bertindak sebagai agregator gas Sarawak berdasarkan peraturan negeri mengenai pengagihan gas yang berkuatkuasa pada 1 Mac.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) Azalina Othman Said mengesahkan peranan Petros sebagai agregator gas negeri, namun ia tidak termasuk gas asli cecair.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.