
Anwar berkata, 30 pesawat itu terdiri daripada 18 pesawat Boeing 737-8 dan 12 Boeing 737-10.
Katanya, MAG mempunyai pilihan untuk mendapatkan tambahan 30 pesawat daripada Boeing.
Syarikat itu mengendalikan Firefly dan Malaysia Airlines Bhd.
Anwar berkata, tempahan MAG adalah pelaburan ‘signifikan’ yang mencerminkan komitmen syarikat terhadap pertumbuhan dan ketahanan serta meningkatkan keterhubungan Malaysia dengan dunia.
“Pencapaian ini bukan sekadar usaha memodenkan armada, malah mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pemain utama dalam industri penerbangan global serta menguatkan asas ekonomi kita dalam persekitaran yang semakin kompetitif.
“Pesawat ini akan meningkatkan pengalaman penumpang, mengintegrasikan teknologi moden, dan meningkatkan kecekapan, sambil mewujudkan peluang pekerjaan, merancakkan sektor pelancongan, serta mengukuhkan industri yang bergantung kepada sektor penerbangan yang kukuh.
“Kesan berganda ini akan dirasai di seluruh ekonomi kita, mewujudkan peluang baharu untuk perniagaan dan individu,” katanya ketika berucap pada majlis pengumuman tempahan penggantian pesawat badan sempit oleh MAG.
Sementara itu, Pengarah Urusan MAG, Izham Ismail, berkata kumpulan baharu pesawat badan sempit – lebih dikenali sebagai pesawat lorong tunggal – akan dihantar seawal 2029.
“Dalam tempoh dua tahun (2029 dan 2030), kami akan menerima semua 30 pesawat,” katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun, beliau enggan mendedahkan kos tempahan itu, dengan merujuk dasar rasmi MAG.
Katanya, pilihan untuk tempahan tambahan 30 pesawat dalam kontrak dengan Boeing adalah bagi memastikan Malaysia seiring hala tuju pasaran penerbangan.
Menurutnya, keputusan mengenai pembelian tambahan akan dibuat berdasarkan pertumbuhan pasaran.