
SIRIM dalam kenyataan berkata naskhah itu mengisahkan Adam, seorang kanak-kanak istimewa yang menemui seekor anak kucing jalanan bernama Debok dalam suasana Ramadan yang tenang.
“Tergerak rasa simpati, Adam membawa Debok pulang dan menggunakan kemahiran teknologinya untuk mencipta kerusi roda khas buat haiwan itu menggunakan teknologi pencetakan 3D daripada Sirim.
“Kisah ini bukan sekadar memperlihatkan keajaiban teknologi tetapi juga menyentuh hati dengan nilai kemanusiaan dan belas ihsan terhadap semua makhluk,” katanya.
Menurut agensi itu, SIRIM melalui Smart Manufacturing Centre dan SIRIM Industrial Research telah lama menjadi peneraju dalam inovasi pencetakan 3D untuk pelbagai keperluan termasuk prostetik bagi individu kurang upaya.
“Dengan standard keselamatan tinggi, teknologi itu telah membantu ramai golongan memerlukan termasuk Adam yang menggunakan prostetik kaki khas dalam iklan itu,” katanya.
Lebih daripada sekadar iklan, “Budak Kucing & Teknologi SIRIM ” mengajak masyarakat untuk lebih prihatin terhadap insan kurang upaya dan haiwan terbiar.
“Ia juga beri peringatan bahawa kasih sayang dan teknologi boleh berjalan seiring dalam mencipta dunia yang lebih baik,” katanya.