PRK Ayer Kuning: Calon berimej agama PN beri saingan sengit kepada BN, kata penganalisis

PRK Ayer Kuning: Calon berimej agama PN beri saingan sengit kepada BN, kata penganalisis

Azmi Hassan berkata Pakatan Harapan - sekutu BN dalam kerajaan perpaduan perlu meyakinkan pengundi tegarnya untuk bantu kemenangan besar calon Umno.

Mohamad Yusri Bakir dan Abdul Muhaimin Malek
Barisan Nasional menampilkan Mohamad Yusri Bakir manakala Perikatan Nasional meletakkan Abdul Muhaimin Malek pada PRK Ayer Kuning, yang kedua-duanya berlatar belakang agama.
PETALING JAYA:
Penganalisis berpendapat calon berlatar belakang agama mewakili Perikatan Nasional (PN) mampu memberi saingan sengit kepada Barisan Nasional (BN) untuk meraih hampir 60% pengundi Melayu pada PRK DUN Ayer Kuning, 26 April depan.

Justeru, Felo Majlis Profesor Negara (MPN), Azmi Hassan, berkata Pakatan Harapan (PH)- sekutu BN dalam kerajaan perpaduan perlu berusaha keras meyakinkan pengundi tegarnya – komuniti Cina dan India – untuk mengundi calon dari Umno, termasuk membantu melebarkan jurang majoriti.

Menurutnya, strategi pembangkang mempertaruhkan Pengerusi PN Tapah Abdul Muhaimin Malek yang juga Pengetua Maahad Tahfiz Addin Air Kuning menunjukkannya mungkin tidak menaruh harapan kepada pengundi 40% Cina dan India.

Di pihak BN, gabungan itu diwakili Mohamad Yusri Bakir – seorang ustaz dan guru, yang juga pemegang ijazah doktor falsafah (pendidikan Islam) dan berkhidmat sebagai ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral IPG Kampus Ipoh.

“PAS dan PN tahu undi bukan Melayu tidak akan berpihak kepada mereka, jadi fokus mereka adalah kelompok majoriti.

“Sebab itu calon diletakkan berimej agama, sesuai dengan pendekatan konservatif yang lebih dekat dengan sentimen pengundi Melayu luar bandar,” kata Azmi kepada FMT.

Azmi berkata, BN pula menjadikan kerjasama dengan PH di pusat dan negeri sebagai kelebihan dalam mengurus baki 40% undi bukan Melayu di DUN berkenaan sekali gus cuba meningkatkan majoriti 2,213 undi pada PRU15.

“Dalam strategi Umno, siapa pun calon yang diletakkan, mereka bergantung kepada PH untuk yakinkan pengundi mereka.

“Jadi secara tidak langsung, tanggungjawab itu terletak kepada DAP dan PKR untuk pastikan penyokong keluar mengundi dan undi diberi kepada calon Umno,” katanya.

Sementara itu, Lau Zhe Wei dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia berpandangan pemilihan kedua-dua calon berlatarkan agama sebagai strategi untuk ‘meredakan’ sebarang pertembungan sentimen agama dalam kempen pilihan raya.

“Bila kedua-dua parti meletakkan calon berlatar belakang Islam, maka kempen tidak akan jadi medan ‘siapa lebih Islamik’. Ia meminimumkan serangan peribadi berdasarkan imej agama dan membolehkan fokus diberikan kepada isu lain,” katanya.

“Kalau Umno letak calon bersifat liberal, sudah pasti PAS akan gunakan isu itu sepenuhnya untuk menyerang,” katanya sambil menambah BN mampu mendapat kelebihan daripada kerjasama dengan PH.

“Pengundi bukan Melayu masih tidak akan undi PN. Pengundi Cina dan India yang menyokong PH akan secara automatik berpindah kepada calon BN atas dasar kerjasama dalam kerajaan perpaduan.”

Azmi dan Lau juga senada PRK ini bukan saja berkisar kepada siapa pemenangnya, tetapi pihak mana mendapat sokongan padu pengundi Melayu.

“Kemenangan moral dalam bentuk sokongan Melayu akan beri isyarat besar kepada akar umbi dan penyokong parti, bahawa mereka masih ada kekuatan di lapangan,” kata Azmi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan PRK Ayer Kuning diadakan pada 26 April, manakala penamaan calon 12 April yang membabitkan 31,897 daftar pemilih.

Kerusi DUN di Perak itu kosong susulan kematian penyandangnya, Ishsam Shahruddin pada 22 Feb.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.