PSM dinasihat jangan buang masa tanding Ayer Kuning

PSM dinasihat jangan buang masa tanding Ayer Kuning

Penganalisis berkata PSM harus terima realiti hanya dua gabungan utama iaitu BN-PH dan PN mendapat sokongan rakyat hari ini.

Lawyer-activist KS Bawani
Pada PRU15 Bawani KS bertanding mewakili PSM di Ayer Kuning namun hilang deposit apabila hanya memperoleh 586 undi.
PETALING JAYA:
Dua penganalisis berpandangan langkah Parti Sosialis Malaysia (PSM) bertanding PRK Ayer Kuning untuk memberi saingan kepada dua gabungan utama – Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) sebagai membuang masa dan pembaziran sumber.

Tawfiq Yaakub dari Universiti Malaya berkata, walaupun pada PRK kali ini PSM mendapat sokongan Muda dan Parti Rakyat Malaysia (PRM), ia seharusnya menerima realiti tiada peluang untuk menang.

Katanya, malah PSM sedikit pun tidak mampu memberi saingan kepada calon BN atau PN yang kini menguasai landskap politik tanah air.

Menurutnya, tidak mengejutkan jika PSM yang meletakkan Timbalan Setiausaha Agung Bawani KS, calon yang kalah pada PRU 2022 sekali lagi hilang deposit.

“Jika PSM menyatakan penyertaan mereka dalam PRK untuk meraikan demokrasi, bagi saya tidak tepat memandangkan ruang demokrasi lain masih terbuka.

“Lebih baik parti itu memfokuskan kepada ruang demokrasi lain berbanding membazirkan dana, tenaga dan masa dalam PRK ini.

“PSM kena sedar dan ingat, Muda dan PRM bukan parti yang kuat dalam politik negara dan kerjasama ini bagi saya tidak strategik, salah serta membuang masa,” katanya kepada FMT.

Kelmarin, PSM ketika mengumumkan calon PRK Ayer Kuning berkata kerjasama antara parti itu bersama Muda dan PRM pada PRK kali ini bagi membina momentum kuasa politik ketiga dalam PRU akan datang.

Pada PRU15 November 2022, Bawani bertanding mewakili PSM di Ayer Kuning, namun hilang deposit apabila hanya memperoleh 586 undi dalam pertembungan lima penjuru yang menyaksikan BN menerusi Ishsam Shahruddin menang dengan majoriti 2,213 undi.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia berpendapat, PSM tidak mampu merebut sebarang kerusi selagi ia tidak bergabung dengan mana-mana gabungan politik utama.

“Jika dilihat prestasi parti itu, mereka tidak pernah menang apabila bertanding solo. Dulu menang di Parlimen Sungai Siput pun atas tiket PH. Mereka sepatutnya tidak bertanding kerana sekadar menghabiskan wang, tenaga, dan masa.

“Sepatutnya, beri peluang kepada BN-PH dan PN untuk beradu kekuatan kerana kita tahu dua gabungan ini saja yang dapat sokongan rakyat pada hari ini,” katanya.

Berdasarkan data pilihan raya 2022, Ayer Kuning adalah kawasan berbilang kaum terdiri 55.64% pengundi Melayu, 21.99% Cina, 14.3% India dan 8.07% daripada kumpulan lain.

PRK Ayer Kuning dijangka menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN (Mohamad Yusri Bakir), PN (Abdul Muhaimin Malek) dan PSM (Bawani).

Hari penamaan calon bagi PRK itu ditetapkan Sabtu ini manakala pengundian 26 April.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.