
Menurut Bernama, majlis itu yang diadakan di Kompleks Seri Perdana petang tadi antara lain menyaksikan MoU antara kerajaan Malaysia dan agensi berita Xinhua dari China dalam bidang berita dan maklumat.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing masing-masing mewakili Malaysia dan China dalam pertukaran dokumen itu.
Menerusi MoU ini, penyiar rasmi negara RTM dan Xinhua akan bekerjasama dalam aktiviti media bersama, terutamanya pertukaran berita serta penerbitan bersama program dan dokumentari bagi mengetengahkan keunikan negara masing-masing dan memperkukuh persefahaman bersama.
Selain itu MoU antara Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) dan Kumpulan Media China (CMG), serta dua MoU tambahan bagi meminda MoU antara kerajaan Malaysia dan CMG berhubung kerjasama dalam bidang media serta satu lagi MoU antara CMG dan Bernama.
Sementara itu, Menteri Luar Mohamad Hasan dan rakan sejawatannya dari China Wang Yi bertukar MoU antara kerajaan Malaysia dan China bagi mempromosi kerjasama di bawah Inisiatif Keselamatan Global.
Kedua-dua menteri luar juga bertukar-tukar MoU antara Agensi Kerjasama Pembangunan Antarabangsa China dan Kementerian Luar Malaysia bagi memperkukuh kerjasama pembangunan serta pelaksanaan Inisiatif Pembangunan Global.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Abdul Aziz dan Menteri Perdagangan China Wang Wentao pula bertukar tiga MoU yang merangkumi kerjasama dalam perkhidmatan perdagangan.
Dua lagi MoU melibatkan usaha menaik taraf program “Two Countries Twin Parks” Malaysia-China serta kerjasama dalam pematuhan piawaian.
Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook dan Ouyang bertukar MoU antara kementeriannya dan Pentadbiran Kereta Api Nasional China bagi memperkukuh kerjasama dalam sektor kereta api.
MoU mengenai sokongan bersama pembinaan makmal bersama dalam teknologi baru muncul telah berlangsung antara Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang dan Ouyang.
Chang juga bertukar MoU mengenai kerjasama mengenai aplikasi Sistem Satelit Navigasi Global BeiDou dengan Pengerusi Suruhanjaya Pembangunan dan Pembaharuan Negara China (NDRC) Zheng Shanjie.
Satu perjanjian pengecualian visa secara timbal balik bagi pemegang pasport urusan rasmi dan pasport biasa turut dipersetujui antara kedua-dua kerajaan.
Malaysia diwakili Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail dan China diwakili oleh Wang Yi.
Dalam bidang pengajian tinggi, Menteri Pengajian Tinggi Zambry Abd Kadir dan Ouyang bertukar MoU antara Universiti Malaya dan Universiti Peking mengenai pembinaan makmal gabungan bahan baharu AI+ China-Malaysia.
Kedua-dua pihak turut bertukar tiga MoU berkaitan promosi pelancongan dan warisan budaya. Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Tiong King Sing mewakili kementeriannya dalam pertukaran itu manakala China diwakili oleh Ouyang dan Presiden CMG serta Ketua Pengarang Shen Hai Xiong.
Shen juga bertukar MoU mengenai terjemahan dan penerbitan karya klasik dengan Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.
Menteri Digital Gobind Singh Deo dan Pengerusi NDRC Zheng Shanje bertukar dua MoU mengenai kecerdasan buatan (AI) dan ekonomi digital.
Pertukaran MoU mengenai kerjasama dalam bidang harta intelek dilakukan antara Ketua Pengarah Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) Kamal Kormin dan Ouyang.
Selain MoU, Malaysia dan China bertukar dua nota, dua perjanjian dan protokol untuk memajukan kerjasama dalam bidang kepentingan bersama.