Bung sukar ‘diramal’, rumit kerjasama PH-BN di Sabah, kata penganalisis

Bung sukar ‘diramal’, rumit kerjasama PH-BN di Sabah, kata penganalisis

James Chin berkata PH lebih cenderung kerjasama dengan Hajiji Noor walaupun sedar hasrat jangka panjang GRS mahu singkir parti bukan tempatan.

Bung Moktar Radin
Ramai pemimpin PH mempunyai pengalaman buruk dengan Pengerusi BN Sabah Bung Moktar Radin, kata penganalisis politik, James Chin.
PETALING JAYA:
Kerjasama pilihan raya di Sabah antara Barisan Nasional (BN) dan Pakatan Harapan (PH) menjelang PRN dijangka rumit, atas faktor Bung Moktar Radin, kata penganalisis.

James Chin dari Tasmania University, berkata pengerusi BN Sabah itu dikatakan menyumbang ‘masalah besar’ kepada pakatan dicadangkan.

“Ramai pemimpin PH mempunyai pengalaman buruk dengan Bung,” katanya kepada FMT merujuk kepada kegagalan rampasan kuasa, di mana Bung ketika itu timbalan ketua menteri mengetuai usaha menggulingkan Hajiji Noor daripada jawatan tertinggi pada 2023.

“Beliau sukar diramal,” kata Chin mengenai Bung.

Chin mengulas susulan pengumuman Bung bahawa BN Sabah akan bekerjasama dengan PH negeri pada PRN, kerjasama didakwanya dimuktamadkan tahun lalu.

Namun, DAP Sabah nafi mengadakan sebarang perbincangan ke arah itu, manakala Ketua Penerangan PKR Sabah Razeef Rakimin berkata, sebarang kerjasama antara dua gabungan akan meletakkan PH ‘tersepit di tengah-tengah’.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) merupakan tonggak pemerintah negeri, bersama PH membentuk kerajaan Sabah, sebaliknya BN sebagai pembangkang di DUN walaupun lima Adun gabungan itu, menyatakan sokongan ke atas Hajiji.

Chin berkata, PH dilihat cenderung dengan Hajiji meskipun sedar akan hasrat jangka panjang GRS menyingkirkan semua gabungan berpangkalan di Semenanjung dari negeri berkenaan.

Katanya, hal itu menyebabkan DAP Sabah ‘tersepit antara dua pilihan sukar’ menentukan pihak mana patut dijalin kerjasama.

“Di satu pihak, mereka mahu menjauhkan diri daripada GRS kerana skandal perlombongan didakwa berlaku, tetapi pada masa sama tahu penyokong mereka tidak mempercayai atau menyukai Bung.”

Kedua-dua, Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura dan Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah, percaya pengumuman Bung tersebut bertujuan menekan PH untuk bekerjasama dengan BN.

Oh berkata, PRN akan datang dijangka sengit dengan belum jelas sama ada PH akan mendapat lebih banyak manfaat melalui kerjasama dengan GRS atau BN.

“Jadi, semua pihak mencari apa jua helah dengan harapan mendapat kelebihan.”

Bilcher berkata, selain cuba memaksa kerjasama dengan PH, khususnya DAP Sabah, Bung juga sedang mengukur reaksi landskap politik serta orang ramai.

Katanya, ia juga mungkin cubaan menggugat kestabilan lawan dengan mewujudkan kekeliruan dan ketidaktentuan.

“Pengumuman awal Bung mungkin memaparkan kesediaannya menggunakan media dan persepsi awam demi kepentingan sendiri, yang mungkin tidak selari dengan prinsip kepercayaan dan ketelusan diperlukan bagi membentuk kerjasama kukuh,” kata Bilcher.

Ditanya, sama ada kerjasama PH-BN mampu beri manfaat, Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya, berkata tiada lawan atau kawan yang kekal dalam politik.

“Apa yang kekal adalah kepentingan masing-masing.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.