
Pengerusi Amanah Kedah Asmirul Anuar Aris berkata beliau yakin kemelut itu yang dibangkitkan dua pemimpin Umno Kedah baru-baru ini boleh diselesaikan secara baik.
Menurutnya, PH akan membincangkan perkara itu pada mesyuarat dijangka selepas pemilihan PKR untuk melengkapkan barisan kepimpinan komponen itu terlebih dahulu.
“Isu ini boleh diselesaikan secara baik di peringkat pusat dan negeri…saya tak nampak perkara ini boleh jejaskan hubungan PH-BN Kedah.
“Hubungan kita baik, banyak program bersama sempena PRK Ayer Kuning dan Februari lalu telah mengadakan konvensyen perpaduan,” katanya kepada FMT.
Minggu lalu, Ketua Penerangan Umno Kedah Shaiful Hazizy Zainol Abidin dan Ketua Umno Langkawi Nazifuddin Najib membangkitkan isu jawatan timbalan pengerusi MTPN yang dijanjikan diberi kepada wakil BN.
Hazizy berkata kegagalan menunaikan janji itu boleh menjejaskan semangat kerjasama dalam kerajaan perpaduan, terutama menjelang pilihan raya.
Nazifuddin pula berkata pelantikan wakil Umno itu bukan perkara kecil yang boleh dilengah-lengahkan, sebaliknya berkait soal maruah politik, integriti kepimpinan dan kejujuran dalam kerajaan perpaduan.
Difahamkan, persefahaman itu dicapai dalam mesyuarat sekretariat kerajaan perpaduan dipengerusikan Anwar Ibrahim dua tahun lepas, yang bersetuju supaya jawatan timbalan pengerusi MTPN di negeri ditadbir pembangkang diwakili pimpinan Umno.
MTPN Kedah kini diketuai Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail, yang juga pengerusi Pakatan Harapan (PH) Kedah.
FMT telah menghubungi Saifuddin untuk mendapat maklum balasnya.