PAS kurang serang Umno kerana masih ingin ‘bersama’, dakwa penganalisis

PAS kurang serang Umno kerana masih ingin ‘bersama’, dakwa penganalisis

Yusri Ibrahim berkata serangan PAS yang mewakili PN pada PRK Ayer Kuning lebih tertumpu kepada Anwar Ibrahim dan pentadbirannya.

PRK Ayer Kuning
PRK Ayer Kuning akan dijadikan medan untuk yakinkan Umno/BN bahawa kerjasama dengan PH dalam kerajaan perpaduan tidak wajar diteruskan, menurut Yusri Ibrahim.
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik mendakwa PAS dilihat kurang menyerang Umno pada kempen PRK Ayer Kuning disebabkannya tidak berhasrat ‘membakar’ sepenuhnya kerjasama dijalin sebelum ini.

PAS mewakili Perikatan Nasional (PN) pada pilihan raya 26 April itu manakala Umno di bawah tiket Barisan Nasional (BN) disokong parti komponen kerajaan diketuai Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Anwar Ibrahim.

Yusri Ibrahim dari Universiti Malaysia Terengganu berkata keadaan itu mungkin disebabkan PAS masih mahu kembali bekerjasama dengan Umno atas pelbagai faktor terutamanya dalam berdepan PRU16 seperti disuarakan beberapa pimpinannya.

Menurutnya, tanpa serangan terhadap Umno, PAS mungkin mengharapkan kerjasama menerusi piagam sebelum ini yang runtuh dapat dibina untuk membina ‘mahligai’ baharu.

“Sebab itu Ayer Kuning akan terus dijadikan medan untuk meyakinkan Umno/BN bahawa kerjasama bersama PH dalam kerajaan perpaduan tidak wajar diteruskan.

“PN lebih banyak menyerang PMX (Anwar) dan kerajaan Madani secara umum di Ayer Kuning.

“Secara tidak langsung ini juga memberi keuntungan kepada Umno/BN, mereka boleh fokus kepada strategi kempen tanpa banyak gangguan, seterusnya berusaha untuk capai kemenangan dengan majoriti besar yang mereka sasarkan,” katanya di Facebook.

PRK Ayer Kuning menyaksikan pertembungan tiga penjuru membabitkan wakil PN Abd Muhaimin Malek dan Mohamad Yusri Bakir dari BN manakala KS Bawani membawa cabaran Parti Sosialis Malaysia (PSM).

Yusri berkata PAS sebagai parti politik lama dan berpengalaman luas pastinya bijak mencatur gerakan politik mereka dalam membuka pintu kerjasama Umno apabila berdepan dengan isu dalam PN.

Menurutnya, isu itu bukan hanya membabitkan hubungan dengan Bersatu tetapi peluangnya pada PRU16, mengambil kira jika BN dan PH meneruskan kerjasamanya yang berpotensi menyebabkan PN hilang 32 kerusi Parlimen.

“Hilang 32 daripada keseluruhan 74 kerusi dimenangi pada PRU15 lalu bukanlah sesuatu diingini PN, bahkan jadi mimpi ngeri jika benar-benar berlaku nanti.

“Sebab itu saya percaya strategis PAS tidak akan biarkan perkara ini berlaku, mereka parti tunggal memenangi kerusi Parlimen paling banyak… mereka akan cuba pertahan karisma ada,” katanya.

Menyentuh kerusi PN bakal hilang jika undian BN-PH digabungkan, Yusri berkata Perak sebagai kubu kuat komponen mungkin boleh terancam dengan jangkaan kekalahan di lapan Parlimen iaitu Gerik, Parit Buntar, Bukit Gantang, Padang Rengas, Kuala Kangsar, Parit, Pasir Salak dan Lumut.

Menurutnya, tujuh kerusi di Pahang yang mungkin dirampas daripada PN adalah Jerantut, Indera Mahkota, Kuantan, Maran, Kuala Krau, Temerloh dan Rompin.

“Seterusnya enam 6 kerusi di Selangor iaitu Sabak Bernam, Sungai Besar, Hulu Selangor, Tanjong Karang, Kapar dan Kuala Langat.

“Melaka dan Pulau Pinang pula masing-masing tiga kerusi iaitu Masjid Tanah, Tangga Batu, Jasin, Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh,” katanya.

Malah, Yusri tidak menolak kemungkinan Parlimen Pagoh disandang Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin juga boleh terancam di Johor selain Mersing.

“Di Kedah dan Perlis masing-masing satu kerusi iaitu Parlimen Kulim Bandar Baharu dan Kangar,” jelasnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.