
Jurucakap kerajaan perpaduan, Fahmi Fadzil, berkata menjadi hak mutlak Perdana Menteri Anwar Ibrahim untuk memutuskan perkara itu.
“Itu (rombakan Kabinet) adalah ‘prerogative’ perdana menteri.
“Mungkin selepas daripada itu (pemilihan Pusat PKR), kita akan tahu dengan lebih jelas laluan ke depan (sama ada timbul keperluan Kabinet dirombak),” katanya menurut Harian Metro di Johor Bahru.
Fahmi mengulas sama ada timbul keperluan merombak Kabinet mengambil kira nama besar dalam Jemaah Menteri tumpas pemilihan peringkat bahagian.
Antaranya, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Nik Nazmi Nik Ahmad yang kalah kepada Afdlin Shauki, bagi persaingan ketua di Setiawangsa, selain Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswathy yang juga naib presiden dalam pemilihan Bukit Bintang.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli pula tewas dalam perebutan timbalan ketua Hang Tuah dan terbaru, Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasir tumpas di ketua Johor Bahru.
Dalam pada itu, Fahmi yang juga menteri komunikasi berkata lazim kepada ahli politik berdepan ‘turun naik’ walaupun di peringkat bahagian.
“Semestinya ramai bertanya, apa seterusnya selepas ini (apabila di cabang).
“Namun, untuk jawatan politik, PKR masih belum selesai. Pertamanya, kita masih ada pemilihan di peringkat pusat dengan PKR tidak melarang mana-mana anggota parti terbabit dalam pemilihan pusat, walaupun mereka tidak memegang jawatan di cabang,” katanya.
Fahmi berkata, terdapat situasi dalam PKR, pemimpin tidak berjaya atau tidak bertanding di peringkat bahagian, namun akhirnya berjaya di pusat.
“Jadi, prosesnya (pemilihan) masih berjalan. Pencalonan peringkat pusat berlangsung 3 dan 4 Mei nanti, manakala pemilihan fizikal oleh perwakilan yang datang ke Kongres PKR akan berlangsung 24 Mei nanti,” katanya.