2 ditahan guna resit palsu tipu peniaga restoran

2 ditahan guna resit palsu tipu peniaga restoran

Polis berkata ini kali kedua individu sama menggunakan taktik sama menyebabkan mangsa kerugian RM348.10.

Mohd-Iqbal-Ibrahim
Ketua Polis Shah Alam Mohd Iqbal Ibrahim berkata dua lelaki ditahan semalam selepas seorang peniaga wanita membuat laporan ditipu suspek menggunakan resit palsu selepas menjamu selera di restorannya. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Seorang juruaudit antara dua lelaki ditahan kerana didakwa menggunakan resit palsu untuk memperdaya peniaga restoran di Seksyen 13, Shah Alam, minggu lalu.

Dua warga tempatan berusia 34 dan 35 tahun itu ditahan di sekitar Shah Alam pada 2.50 pagi semalam selepas polis menerima laporan daripada peniaga wanita memaklumkan ditipu individu terbabit.

Ketua Polis Shah Alam, Mohd Iqbal Ibrahim, berkata kejadian dilaporkan berlaku sekitar 10.18 malam 14 April lalu apabila suspek menunjukkan resit atas talian berjumlah RM304.50 ketika membuat pembayaran selepas menjamu selera di restoran itu.

Tetapi, beliau berkata, selepas semakan, mangsa mendapati tiada kemasukan wang ke akaun perniagaannya dan hanya menyedari ditipu kelmarin.

“Mangsa turut memaklumkan ini kali kedua individu sama menggunakan taktik terbabit dengan jumlah kerugian dialami mangsa adalah RM348.10,” katanya menurut Harian Metro.

Iqbal berkata, semakan mendapati dua suspek mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan jenayah dan mereka direman empat hari untuk disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Beliau mengingatkan peniaga berwaspada terhadap resit pembayaran digital ditunjukkan pelanggan secara manual atau tangkap layar.

“Sebarang transaksi hendaklah disemak terus melalui sistem perbankan rasmi sebelum menyerahkan barangan atau perkhidmatan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.