Nik Nazmi, ahli Kabinet kalah masih ada peluang, kata penganalisis

Nik Nazmi, ahli Kabinet kalah masih ada peluang, kata penganalisis

Penganalisis berkata anggota Kabinet tewas seperti Nik Nazmi Nik Ahmad masih boleh pulihkan imej politik pada pemilihan jawatan pusat 24 Mei ini.

Nik Nazmi K Saraswathy Adam Adli Akmal Nasir
Nik Nazmi Nik Ahmad, K Saraswathy, Adam Adli dan Akmal Nasir, kalah pada pemilihan peringkat bahagian PKR.
PETALING JAYA:
Dinamik politik dan masa depan ahli Kabinet yang kalah pada pemilihan peringkat bahagian hanya diketahui selepas pertandingan jawatan pusat 24 Mei ini, kata penganalisis.

Mereka berpendapat, Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Nik Nazmi Nik Ahmad masih boleh membuka jalan dan imej politik jika berjaya mengekalkan jawatan naib presiden dimenanginya pada pemilihan tiga tahun lalu.

Begitu juga Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam Adli dan Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Akmal Nasrullah yang mengintai kedudukan ahli Majlis Pimpinan Pusat (MPP) PKR.

Felo Majlis Profesor Negara, Azmi Hassan, berkata kekalahan pemimpin PKR dalam pentadbiran kerajaan itu bukan bermakna pengakhirannya kerana ‘cita rasa’ pemilihan di pusat mungkin berbeza dengan bahagian.

“Saya tidak lihat kekalahan mereka sebagai penghalang untuk teruskan cabaran dalam jawatan PKR (pusat),” katanya kepada FMT.

Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat, mereka masih mempunyai masa meyakinkan perwakilan untuk dipilih sebagai sebahagian saf pimpinan pusat sekali gus memperbaiki laluan politiknya.

“Kalau lihat ‘track record’ calon dianggap tewas di bahagian sepatutnya ada keupayaan mendapat dorongan dan sokongan di pusat (pada pemilihan) akan datang.

“Kita tunggu dulu pemilihan di peringkat pusat apakah pemimpin kalah di bahagian boleh kekalkan di kedukan di pusat,” katanya.

Bilcher Bala dari Universiti Malaysia Sabah (UMS) pula berkata, kekalahan di peringkat bahagian hanya memberi kesan sementara dan tidak menutup sepenuhnya peluang di platform lebih luas.

“Keputusan di peringkat pusat akan menjadi penentu utama bagi masa depan politik mereka dalam PKR,” katanya.

Pada pemilihan peringkat bahagian baru-baru ini, Nik Nazmi yang juga naib presiden parti tewas kepada selebriti Afdlin Shauki dalam perebutan kerusi ketua PKR Setiawangsa disandangnya sebelum ini.

Adam yang mengetuai sayap Pemuda PKR pula kalah dalam pertandingan timbalan ketua PKR Hang Tuah Jaya manakala Akmal gagal pertahan jawatan ketua PKR Johor Bahru disandang sejak 2014.

Turut tewas Timbalan Menteri Perpaduan K Saraswathy yang juga naib presiden dalam pemilihan Bukit Bintang.

Semalam, Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengesahkan tiada rombakan Kabinet dibuat selepas pemilihan PKR walaupun ia membabitkan anggotanya yang kalah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.