
Bekas perdana menteri itu menjelaskan tarif bertujuan menjadikan import lebih mahal agar produk tempatan lebih mudah dijual, namun keadaan itu bergantung pada ketersediaan produk tempatan.
Bagaimanapun, AS ‘boleh dikatakan tidak mempunyai produk tempatan’ lantaran bergantung pada import selama lebih sedekad, memandangkan ia pilihan yang jauh lebih murah.
“Malah produk AS dihasilkan di negara luar kerana kos lebih rendah. Apple menghasilkan kebanyakan iPhone di China dan India untuk dijual di pasaran global, termasuk AS.
“Trump sudah pun terpaksa menangguhkan (atau menjeda) tarif tinggi ke atas elektronik. Produk lain akan hadapi masalah sama. Hasilnya kos sara hidup di AS akan meningkat dengan tinggi,” katanya di Facebook.
Beliau menambah AS akan menghadapi kekurangan barang dan komponen penting, yang akan menyebabkan pengeluaran tempatan mahal. Ini bermakna produk tidak akan terjual dengan baik di AS atau mampu bersaing di peringkat global, katanya.
Mahathir meramalkan AS akan menghadapi kekurangan pelbagai produk penting dan tidak penting, dan tindak balas daripada orang ramai akan berlaku.
“AS akan kehilangan pasaran luar kerana produknya tidak dapat bersaing di pasaran dunia. Akan ada banyak tunjuk perasaan oleh rakyat AS,” katanya.
Trump menghentikan pengenaan tarif import ‘timbal balik’ selama 90 hari, tidak termasuk tarif tambahan sebanyak 145% yang dikenakan ke atas China.
Malaysia pada mulanya dikenakan tarif 24% tidak termasuk elektronik, manakala Kemboja dikenakan 49%, yang paling berat di antara semua negara Asia Tenggara. Ia diikuti oleh Laos (48%), Vietnam (46%), dan Singapura (10%).
China bertindak balas dengan mengenakan tarif balas sebanyak 125% ke atas barangan AS.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Zafrul Aziz kini berada di AS untuk mengetuai perbincangan mengenai tarif dengan rakan sejawatan.