
Ketua Polis Negeri Sembilan, Ahmad Dzaffir Mohd Yussof, berkata satu kertas enkuiri dibuka bagi siasatan awal.
“Setakat ini, tiga keterangan telah diambil untuk membantu siasatan,” katanya lapor Utusan Malaysia.
Terdahulu, tular di media sosial seorang lelaki membuat laporan di Balai Polis Rantau pada 22 April lalu, berhubung dakwaan yang dikatakan bermula pada 2019.
Laporan itu dibuat bagi mendapatkan wang daripada pegawai kanan tersebut, setelah mengetahui pegawai tersebut tidak lagi bertugas di Negeri Sembilan.
Menurut Utusan Malaysia, pengadu menyerahkan RM50,000 kepada seorang lelaki, yang dipercayai ‘orang tengah’ kepada seorang pegawai polis.
Wang tersebut dikatakan sebagai jaminan supaya pengadu tidak dikenakan langkah-langkah tertentu bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau Akta Pencegahan Jenayah kerana pengadu pernah ditahan bawah Sosma pada 2018 atas kesalahan gangsterisme.
Pada 2022, ‘orang tengah’ itu dikatakan ke rumah pengadu dan meminta bayaran RM50,000 namun dia hanya mampu membayar RM30,000.
Menurut Utusan Malaysia, hasil siasatan awal mendapati pegawai kanan itu mengakui kenal dengan pengadu namun hanya atas urusan tugas iaitu dalam mendapatkan maklumat risikan.