
Menurutnya, setakat ini tiada sebarang surat atau dokumen bertulis diterima, justeru kedudukan sedia ada masih kekal.
“Buat masa ini kami belum terima apa-apa secara hitam putih. Jadi status quo kekal.
“Saya masih menunggu,” katanya kepada pemberita ketika ditanya mengenai kedudukan Hamzah.
Kenyataan Johari dibuat susulan timbul kekeliruan mengenai jawatan Hamzah selepas Perikatan Nasional (PN) bersetuju supaya PAS mengambil alih jawatan ketua pembangkang.
Bagaimanapun, Setiausaha Agung PAS Takiyuddin Hassan menegaskan belum ada keputusan muktamad dibuat dan parti itu masih memerlukan masa untuk berbincang.
Kedudukan Hamzah menjadi tidak menentu sejak beliau dipecat daripada Bersatu pada 13 Feb lalu akibat perebutan kepimpinan dalaman dengan Presiden Muhyiddin Yassin.
Hamzah sebelum ini dilantik sebagai ketua pembangkang selepas kerajaan perpaduan dibentuk, hasil cadangan PAS, walaupun ketika itu Muhyiddin masih menjadi pengerusi PN.
Selain Hamzah, beberapa lagi Ahli Parlimen yang dipecat daripada Bersatu ialah Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (Machang), Fathul Huzir Ayob (Gerik), Azahari Hasan (Padang Rengas), Saifuddin Abdullah (Indera Mahkota) dan Wan Saiful Wan Jan (Tasik Gelugor).
Johari turut menjelaskan sebarang perubahan susunan tempat duduk Ahli Parlimen Bersatu yang dipecat tidak boleh dibuat selagi tiada notis rasmi dikemukakan.
“Selagi saya tidak menerima apa-apa pemakluman rasmi, saya tidak boleh buat apa-apa,” katanya.