Rafizi diberi tempoh hingga esok jawab surat tunjuk sebab

Rafizi diberi tempoh hingga esok jawab surat tunjuk sebab

PKR tidak mahu ambil tindakan begitu sahaja, tegas Setiausaha Agung Fuziah Salleh.

Fuziah Salleh
Setiausaha Agung Fuziah Salleh kata PKR beri tempoh selama lima hari kepada Rafizi Ramli untuk menjawab surat tunjuk sebab.
KOTA BHARU:
Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli, diberi tempoh sehingga esok untuk memberi penjelasan berhubung kenyataannya bertanding pada PRU16 bukan atas tiket PKR.

Setiausaha Agung Fuziah Salleh berkata parti itu mengeluarkan surat tunjuk sebab kepada Rafizi pada 23 Feb lepas dan diberi tempoh selama lima hari untuk memberikan jawapan.

“Dia kata akan bertanding PRU16 bukan atas tiket PKR, ia mungkin menimbulkan persepsi sama ada dia berhasrat untuk keluar daripada parti, jadi surat tunjuk sebab itu bagi peluang dia menjelaskan… sebab kami tidak mahu ambil tindakan begitu sahaja, sebaik-baiknya kami ikut perlembagaan parti,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas tinjauan di Bazar Ramadan di pekarangan Mydin Tunjong.

Fuziah berkata PKR tidak mahu mengambil keputusan terburu-buru tanpa mendengar penjelasan daripada bekas menteri ekonomi itu.

“Pada 1 Mac ini, kami akan adakan mesyuarat majlis pimpinan pusat, keputusan terhadap Rafizi pula, Insya-Allah… tengok macam mana,” katanya.

Semalam, Rafizi mengesahkan menerima surat tunjuk sebab daripada PKR atas alasan beliau telah mengisytiharkan keluar parti.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.