HomeNewsBeritaBusinessLifestyleOpinionWorldSportsPropertyEducationCarzillaGalleryVideosAccelerator

Tampin, kubu BN yang tidak terima tempias 1MDB

-

Ia turut diakui Amanah, yang berkata isu ekonomi dan kos hidup lebih penting bagi penduduk luar bandar ini.

0
Shares
Total Views: 1
tampin
Sumbangan barangan asas disediakan Umno Tampin kepada penduduk. 1MDB dan isu nasional lain tidak menjadi keutamaan di Tampin. (Gambar Facebook)

TAMPIN:
Buat sekian lama, Tampin di Negeri Sembilan merupakan kubu kuat Datuk Seri Shaziman Abu Mansor, bekas menteri kerja raya.

Komposisi penduduk sini rata-rata mencerminkan Malaysia amnya, dengan 60% Melayu, diikuti Cina (23%) dan India (14%).

Ketika Barisan Nasional (BN) hilang majoriti 2/3 di Dewan Rakyat pada 2008, Shaziman berjaya mengekalkan kemenangannya dengan majoriti selesa, undi 24,022 berbanding calon PAS, Abdul Razakek Abdul Rahim, yang memperoleh 10,942 undi. Shaziman sekali lagi menang selesa pada pilihan raya 2013.

Tiga kerusi negeri di sini ialah Gemencheh, Gemas dan Repah. Pada 2013, Repah yang mempunyai majoriti pengundi bukan Melayu, dimenangi DAP dengan majoriti lebih besar daripada 2008.

Walaupun dengan pelbagai isu seperti 1MDB, di samping kewujudan PPBM yang menyaksikan pemimpin veteran Umno berganding bahu dengan pembangkanga, Umno tetap yakin akan menang di Tampin.

Timbalan Ketua Umno Tampin, Mohd Isam Mohd Isa turut tidak gentar dengan kemungkinan 3 penjuru, yang boleh berlaku sekiranya PAS enggan memberi laluan kepada Pakatan Harapan (PH) untuk bertanding satu-lawan-satu.

Pertandingan 3 penjuru, walaupun dikatakan menguntungkan Umno, boleh juga merugikan parti Melayu itu, disebabkan undi Melayu yang akan berpecah.

Tetapi Isam, yang juga Adun Gemencheh, kerusi negeri di bawah Tampin, yakin pengundi yang menyokong Umno dan BN tidak akan “lari”.

“Undi-undi orang atas pagar dan juga undi pembangkang akan pecah dua. Undi BN tetap sama,” katanya kepada FMT.

Menurutnya, mereka yang keluar Umno untuk menubuhkan PPBM tidak menjadi ancaman.

“Orang-orang ini tak mengundi kita pun,” katanya.

Isam mendakwa pengundi di Tampin tidak terkesan dengan isu seperti 1MDB, syarikat milik kerajaan yang berdepan pelbagai siasatan di beberapa buah negara.

Baginya, banyak perkara yang dilaporkan adalah “persepsi”.

“Kita pun tak tahu sejauh manakah benarnya. Kalau ikutkan saya, kebanyakan adalah benda-benda palsu, hanya persepsi pihak pembangkang.

“Tapi kita lebih utamakan masalah kita di Tampin, bukan masalah di tempat lain,” katanya.

Pandangan Isam itu dipersetujui Amanah, yang bakal meletakkan calonnya di sini.

Ketua Amanah Tampin, Latif Tambi mengakui isu 1MDB atau “derma politik” RM2.6 bilion yang ditemui dalam akaun Datuk Seri Najib Razak, tidak beri kesan kepada pengundi Tampin.

Latif berkata isu nasional seperti itu hanya menjadi bualan pengundi bandar.

“Orang kampung, orang luar bandar ini mereka lebih kepada soal ekonomi, kesusahan yang mereka lalui sekarang akibat daripada ekonomi yang ‘tidak cantik’ ketika ini.

“Masalah yang mereka hadapi sekarang fokusnya lebih kepada harga barang naik dan cukai barangan dan perkhidmatan (GST),” katanya.

Sebahagian besar pengundi Tampin tinggal di perkampungan Melayu dan kawasan Felda.

Kawasan Felda di Tampin termasuk Felda Bukit Jalor, Bukit Rokan, Bukit Rokan Utara, Bukit Rokan Barat, Sungai Kelamah, Bukit Jalor dan Jelai.

Latif berkata, pengundi Melayu dan Felda akan menentukan “kemenangan” di kawasan berkenaan pada pilihan raya akan datang, disebabkan pengundi Cina sudah pun “sokong perubahan”.

“Kita tahu bahawa kaum Tionghua sokong perubahan yang kita hendak dan pada masa yang sama kita tidak meninggalkan mereka juga.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.