
Minggu lepas, saya dan suami buat pemeriksaan kesihatan. Senang saja, kurang 10 minit, doktor suntik keluarkan darah dan ambil sampel air kencing. Bayar RM200 dan tunggu 3 hari untuk dapatkan keputusan. Mudah bukan?Tujuan buat pemeriksaan itu sebab khuatir dengan kesihatan suami. Akhir-akhir ini dia banyak mengadu sakit. Entah-entah kencing manis, tekanan darah tinggi atau….
Mujur, semuanya ok. Rupa-rupanya saya pula yang terima kejutan.
“Puan, kena berhati-hati sebab kadar glukos agak tinggi dalam darah. Jangan risau, kawal makan, buat senaman,” kata doktor.
Terdiam sebentar, doktor beritahu mungkin faktor genetik memandangkan ayah dan keluarga sebelahnya, semua lengkap dengan pakej diabetes dan penyakit jantung.
“So, you know what to do,” kata doktor.
Resah, saya pun periksa laman web mendapatkan pengetahuan lanjut mengenai penyakit ini. Mujur saya buat pemeriksaan kesihatan itu, kalau tidak mungkin saya tidak dapat mengesannya.
Asyik dahaga, kerap kencing, tangan dan kaki kebas adalah simptom paling biasa bagi diabetes jenis-2.
Namun, menurut laman web How Nutrition, ada simptom yang tidak diduga apabila kandungan gula naik mendadak sehingga mengganggu keseimbangan kesihatan. Kita pula tidak sedar ia sebenarnya berkait diabetes.
Berikut, tanda kandungan gula dalam darah naik mendadak.
Kulit mengelupas
Tak percaya? Ingatkan sebab terlalu kering, panas atau nyah hidrat, rupanya diabetes juga boleh menjadi penyebab. Awasi kulit belakang leher, sekitar siku, jika ia mengelupas dan menjadi hitam mungkin petanda gula naik mendadak.
Penglihatan lebih baik
Jangan terlalu syok kalau kuasa mata bertambah baik secara tiba-tiba. Menurut portal ini, kenaikan gula yang banyak juga boleh beri kesan berbalik kepada penglihatan di mana ia menjadi lebih baik daripada kebiasaan.
Kulit gatal
Kalau anda asyik menggaru, maksudnya kenalah periksa darah dan kandungan gula. Ini kerana gula dalam darah boleh menghalang aliran darah sehingga menyebabkan kegatalan. Alamak macam rasa gatal pula bahagian kaki saya…
Masalah pendengaran
“Apa? Apa, boleh ulang tak? Meh sini sikit tak dengar. ” Ha… ni pun kena hati-hati, sebab salah satu kesan kandungan gula tinggi dalam darah ialah masalah pendengaran. Menurut kajian, 30% pesakit diabetes terkesan dengan masalah pendengaran kerana gula menghalang aliran darah dan saraf pada telinga berjalan lancar.
Berdengkur
Wah, berdengkur pun sebab diabetes ke? Bukan kerana penat? Majoriti pesakit diabetes jenis-2 hadapi masalah pernafasan yang tidak sekata, jadi bila tidur mereka bernafas dengan kuat. Orang yang hidap diabetes juga dikatakan mempunyai masalah susah tidur, jadi bila mereka tidur, hormon stres akan dibebaskan dan ia diterjemahkan dengan dengkur kuat. Kalau ada ahli keluarga yang akhir-akhir ini kuat berdengkur, bawalah ke hospital buat pemeriksaan.