![TUDM-lapangan-terbangkl](/_next/image/?url=https%3A%2F%2Fs3media.freemalaysiatoday.com%2Fwp-content%2Fuploads%2F2017%2F04%2FTUDM-lapangan-terbangkl.jpg&w=3840&q=75)
Mula dibina pada 1930, pangkalan udara itu mencatat sejarah penting sebagai lapangan terbang pertama Malaysia.
Pernah dikenali sebagai Lapangan Terbang Sempang, lapangan terbang itu telah diperbesarkan pada 1948 sebelum diisytiharkan bertaraf antarabangsa oleh Perdana Menteri, Tuanku Abdul Rahman Putra Alhaj, pada 1 Ogos 1956.
Selain beroperasi sebagai sebuah lapangan terbang, pangkalan itu merupakan legasi Tentera Udara Diraja British (RAF) kerana ia merupakan pangkalan udara pertama yang ditubuhkan oleh pasukan itu di Tanah Melayu dan telah beroperasi mulai 1 Jun 1941.
Menurut laman web TUDM www.airforce.mil.my, matlamat utama penubuhan pangkalan ini adalah untuk memudahkan operasi RAF bagi mempertahankan Tanah Melayu selain menjadi pusat perhubungan RAF dengan pangkalan di Seletar, Singapura.
Sewaktu penaklukkan tentera Jepun di Tanah Melayu pada tahun 1942, pangkalan itu berfungsi sebagai pusat pertahanan RAF.
Pada tahun 1945 iaitu apabila Jepun menyerah kalah, pangkalan itu telah melalui proses penambahbaikan dan dibuka semula pada 1956.
Pada 25 Okt 1960, kerajaan British secara rasminya menyerahkan pangkalan ini kepada kerajaan Persekutuan Tanah Melayu untuk kegunaan TUDM yang pada ketika itu dikenali sebagai Tentera Udara Diraja Persekutuan (TUDP).
TUDP yang ditubuhkan pada 2 Jun 1958 mula beroperasi di Pangkalan Udara Kuala Lumpur pada tarikh tersebut sebelum nama pasukan itu ditukar kepada TUDM apabila tertubuhnya Malaysia pada 16 Sept 1963.
Bertitik tolak dari situ, pangkalan udara itu terus berkembang dan menjadi nadi kepada pertahanan ruang udara negara dan berperanan dalam mengoperasikan skuadron-skuadron penerbangan, selain menempatkan markas formasi pemerintahan.
Pangkalan udara itu diteraju oleh anak tempatan pertama sebagai Pegawai Memerintah iaitu Group Captain Mohammed Taib pada 31 Mac 1969.
Dengan kedudukannya di lokasi strategik di ibu negara, pengoperasian aset Tentera Darat dan Pasukan Gerakan Udara, Polis Diraja Malaysia (PDRM) turut ditempatkan di pangkalan udara itu.
Selaras dengan pemodenan dan perkembangan pesat Kuala Lumpur, Pangkalan Udara Kuala Lumpur yang berusia lebih 60 tahun, tidak lagi sesuai ditempatkan di lokasi sedia ada untuk menjalankan tugas-tugas operasi ketenteraan kerana kedudukannya yang terdedah kepada pandangan umum.
Pangkalan udara berkenaan akan dibangunkan sebagai Bandar Malaysia untuk rancangan pembangunan negara yang lebih mampan dan bakal menjadi hab pengangkutan utama di Kuala Lumpur.
Menurut Komander Pangkalan, Pangkalan Udara Kuala Lumpur, Kolonel Mohd Shahada Ismail penyusunan semula pangkalan udara itu telah lama dirancang sejajar dengan perkembangan ekonomi dan kepesatan pembangunan Kuala Lumpur.
“Pangkalan udara ini telah lama di sini. Kawasan ini tidak boleh lagi berkembang untuk menampung kekuatan anggota.
“Jadi perpindahan ke Pangkalan Udara Sendayan di Negeri Sembilan ini adalah sesuatu yang baik kerana dilengkapi kemudahan moden dan setanding keperluan masa kini,” katanya kepada Bernama.
Pangkalan Udara Sendayan, adalah satu daripada lapan tapak penempatan semula Pangkalan Udara Kuala Lumpur untuk menaik taraf fasiliti, sejajar dengan modenisasi nasional TUDM.
Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dijadual melawat Pangkalan Udara Sendayan hari ini untuk meninjau secara dekat perkembangan dan kemajuan pembinaaan pangkalan udara itu.
Pangkalan udara tersebut, yang dijadual siap akhir tahun ini, bakal menjadi pusat latihan profesional terbesar negara untuk pegawai dan anggota TUDM.
Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram